10 Adun Kerajaan Perpaduan Melaka angkat sumpah Exco
SERI NEGERI 5 April – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), hari ini.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka itu berlangsung di Dewan Seri Negeri bermula kira-kira jam 8.45 pagi tadi.
Pada istiadat itu, Adun Paya Rumput Datuk Rais Yasin mendahului senarai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Beliau dilantik sebagai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri.
Ia disusuli Adun Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan; Adun Melimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, manakala Adun Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin sebagai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.
Sementara itu, Adun Asahan Fairul Nizam Roslan dan Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer buat julung kali dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.
Fairul Nizam dilantik Exco Sains, Inovasi dan Komunikasi Digital, manakala Hameed dilantik Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan.
Turut dilantik menggambarkan Kerajaan Perpaduan ialah Adun Kesidang daripada Pakatan Harapan (PH), Seah Shoo Shin sebagai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.
Turut mengangkat sumpah Adun Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama; Adun Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, sementara itu Adun Gadek, VP Shanmugam, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan.
Sementara itu Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh juga Adun Tanjung Bidara yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri, Jumaat lalu, memegang portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.
Untuk rekod, seramai tujuh Exco lama dikekalkan dan tiga Exco baharu dilantik dalam senarai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kali ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.