1.7 JUTA PELANCONG SINGGAH KE ZON BEBAS KENDERAAN

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KOTA LAKSAMANA 8 September – Kira-kira 1.7 juta pelancong dan pengunjung direkodkan singgah ke Bandar Hilir dalam tempoh setahun pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah tersebut dianggarkan purata 15,000 hingga 30,000 pengunjung dan pelancong berkunjung ke kawasan itu pada setiap hujung minggu.

“Dalam tempoh sebulan, lebih kurang 100,000 pelancong dan pengunjung yang datang ke kawasan ini dan ia telah menunjukkan satu indikator yang positif terutama kepada ekonomi para peniaga dan pengusaha sektor pelancongan.

“Saya yakin, selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai sebuah kota yang selamat dan mesra pelancong, langkah proaktif ini dilihat signifikan bagi meraikan para pengunjung menikmati kebebasan suasana pelancongan tanpa kenderaan, sekali gus mengurangkan kecenderungan risiko kemalangan.

“Bagi memastikan pelaksanaan ini terus berada pada tahap yang baik dan lestari, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk menaik taraf pencahayaan di sekitar Banda Hilir dan menubuhkan First Aid Station yang dianggotai oleh sukarelawan Paramedik Komuniti dan St. John Ambulance Malaysia Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Vibrant Melaka: Creating A People Centric Living Spaces sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Program Santai@Banda Hilir dan Sambutan Setahun Zon Bebas Kenderaan diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, katanya, meskipun pelaksanaan itu pada awalnya menerima rungutan dan kecaman pelbagai pihak namun kejayaan yang di bawa Melaka kini menjadi contoh kepada negeri lain.

“Pada bulan Jun yang lepas, Melaka telah dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain untuk mewujudkan Kawasan Bebas Kenderaan seperti di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Buktinya, warga maya di laman sosial telah mencipta satu petisyen sokongan agar Jalan Bukit Bintang dijadikan sebagai Zon Bebas Kenderaan sama seperti di Banda Hilir kerana rata-rata daripada mereka yakin bahawa langkah itu mampu menambah baik situasi dan sektor pelancongan serta meningkatkan keselamatan orang awam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post ZON BEBAS KENDERAAN TERIMA DUA PENGIKTIRAFAN MBOR
Next post ZON BEBAS KENDERAAN BAWA IMPAK POSITIF BUAT PENIAGA
Ubah saiz-+=