Sorting by

×

​​​​​​​Pasaran serantau hala tuju baharu minyak sawit mentah

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR 24 Mac – Permintaan terhadap minyak sawit mentah di pasaran serantau semakin meningkat dan berpotensi untuk dikembangkan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata sudah tiba masanya Malaysia beralih tumpuan dan menetapkan hala tuju baharu terhadap potensi pasaran serantau untuk meningkatkan nilai keuntungan daripada harga minyak sawit mentah keluaran negara.

“Jika minyak sawit kita dipasarkan ke pasaran serantau, sudah cukup sebenarnya. Malaysia mempunyai bekalan sebanyak 19 juta tan sahaja dan minyak kita adalah premium, dengan pengeluaran daripada benih yang terbaik berbanding benih yang diguna pakai oleh negara lain.

“Permintaan semakin tinggi tetapi bekalan tidak mencukupi. Oleh itu, jika kita memasarkannya di rantau ini, saiz pasaran sudah begitu besar, dengan kebanyakan negara menunjukkan minat untuk mendapatkan bekalan daripada kita,” katanya dalam program Bicara Naratif Setahun Malaysia Prihatin: Pencapaian Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) di TV1, malam tadi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Foto kredit- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Khairuddin berkata Malaysia kini melaksanakan strategi ofensif dalam pemasaran minyak sawit mentah dengan mewujudkan pasaran baharu yang tidak terikat dengan pasaran sedia ada.

“Kami telah membuka pasaran di Afrika dan Timur Tengah untuk memperluaskan pasaran. Selepas setahun, kita melihat melalui lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi yang bersetuju untuk meningkatkan import kepada 500,000 tan setahun bernilai RM1.7 bilion.

“Pada Julai, kita akan merasmikan pejabat serantau di Jeddah yang menggabungkan tiga sektor utama iaitu sawit, getah dan perkayuan melibatkan tiga agensi utama, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC).

“Tiga sektor ini bergabung untuk menjadikan Jeddah sebagai hab komoditi kita untuk dipasarkan ke Timur Tengah dan Afrika,” katanya.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata kementerian akan melaksanakan program Transformasi Perusahaan Industri Getah (TARGET) yang akan memberi nilai tambah kepada pendapatan pekebun kecil getah.

“Kita mahu menggalakkan pekebun kecil getah terlibat dengan koperasi yang akan menjadi badan atau kumpulan yang akan menyusun semula urus niaga, gaya bekerja dan proses pengeluaran getah supaya ia dapat ditingkatkan.

“Menerusi koperasi dengan pengurusan yang baik, kerajaan boleh membantu mendapatkan mesin yang boleh menilai kandungan getah kering (KGK) dengan lebih tepat dan menghasilkan getah krip berbanding getah sekerap yang akan memberikan nilai tambah.

“Kementerian menerusi Lembaga Getah Malaysia dan kerjasama dengan Majlis Getah Malaysia telah mengeluarkan dana RM6 juta untuk memberi geran bagi mendapatkan mesin membuat getah krip bernilai RM300,000 dengan sasaran 20 koperasi di peringkat awal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

829
Kongsi :
Previous post PPN Selangor pemegang saham nafas tertinggi
Next post Lebih 481,000 individu terima vaksin COVID-19 setakat 23 Mac
Ubah saiz-+=