Zon Bebas Kenderaan Melaka bertaraf lima bintang

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 12 Julai – Zon Bebas Kenderaan Melaka bertaraf lima bintang apabila dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, antara yang disediakan adalah Stesen Rawatan Kecemasan bagi memberi bantuan awal kecemasan dan aplikasi i-Trafik yang membolehkan pengunjung mengetahui keadaan semasa lokasi yang ingin dikunjungi mereka.

Katanya, MBMB juga kini sedang di peringkat ‘proof of concept’ (POC) bagi mewujudkan sistem parkir menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memudahkan pengunjung mengetahui status kawasan tempat kenderaan di Banda Hilir.

“Dengan kemudahan fasiliti seperti Stesen Rawatan Kecemasan, butang kecemasan dan aplikasi i-Trafik MBMB termasuk juga pasukan Sukarelawan Paramedik Komuniti yang ditubuhkan memang sesuai dengan taraf lima bintang.

“Ini ditambah lagi dengan Paramedik Berbasikal dan yang terbaharu kita mempunyai ‘mini buggy ambulans’, kesemua ini menunjukkan bahawa kita bukan sahaja mengalu-alukan kedatangan pengunjung tetapi memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Malah keberadaan ‘panic button’ yang pada masa ini diletakkan di dua lokasi juga kini dalam proses penambahan kepada tiga dan seterusnya ke lima lokasi sekitar Banda Hilir,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shadan, penambahbaikan secara berterusan akan dilakukan berikutan peningkatan kedatangan pelancong ke Banda Hilir pada hujung minggu termasuk cuti sekolah.

“Sekarang ini di Zon Bebas Kenderaan kita menambah pelbagai lagi kemudahan bagi pengunjung untuk berkunjung ke situ malah berdasarkan data yang diperoleh kehadiran pengunjung ke Banda Hilir meningkat.

“Dalam tempoh hampir setahun pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan peningkatan kehadiran pengunjung mula terasa apabila pada Jumaat kira-kira 15,000 malah hari Sabtu menjangkau sehingga 20,000 begitu juga pada Ahad apatah lagi apabila cuti sekolah.

“Jadi sebab itu MBMB mengambil langkah drastik dengan menyediakan kemudahan ini misalnya seperti i-Trafik MBMB yang menyediakan pelbagai maklumat kepada pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3851
Kongsi :
Previous post Melaka cadang buka klinik kesihatan pada hari Ahad
Next post Melaka Bila Larut Malam edisi pertama raih RM95,109
Ubah saiz-+=