Yoga bina kekuatan dalaman, bantu leraikan masalah

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 26 Jun – Senaman Yoga bukan sekadar kebolehan melenturkan badan untuk melegakan otot, sebaliknya amalan itu memberikan faedah lebih besar terhadap aspek kesihatan individu yang mengamalkannya.

Lebih menarik senaman Yoga bukan sahaja memfokuskan kepada fizikal atau luaran semata-mata, malah pergerakan yang memberikan ketenangan juga membantu untuk meningkatkan lagi aspek kesihatan mental seseorang.

Bersempena sambutan Hari Yoga Antarabangsa ke-10, diadakan di Kompleks Belia dan Sukan, Ayer Keroh, di sini, baru-baru ini, Melaka Hari Ini berkesempatan menemubual pengamal Yoga yang berkongsi pengalaman masing-masing mengenai amalan yang menyihatkan badan itu.

Whatsapp Image 2024 06 25 At 1.38.26 Pm
CINDY Lim.

Bagi pensyarah Cindy Lim, 60, tekanan kerja yang dialami 22 tahun yang lalu memberikan kesan amat negatif kepada kesihatan luaran dan dalaman dirinya.

“Saya mengetahui mengenai Yoga menerusi seorang kenalan, selepas lebih 20 tahun aktif dalam amalan ini saya kini menikmati suasana hidup lebih bagus dan berkualiti.

“Yoga adalah gaya hidup yang mendisiplinkan diri dan mengajar kita mengenai cara untuk memberi tumpuan yang tinggi terhadap sesuatu hal. Saya boleh katakan senaman Yoga ini banyak memberi manfaat kepada imuniti dan tubuh badan kita,” katanya yang juga pengamal tegar Yoga.

Whatsapp Image 2024 06 25 At 1.39.55 Pm
MALA.

Sementara itu bersependapat dengan Cindy, bekas guru di Johor, Mala G Nadarajan, 59, berkata, senaman Yoga khususnya Yoga meditasi banyak mengajar dirinya erti sabar dan ketabahan dalam menghadapi ujian hidup.

“Saya sudah amalkan Yoga sejak 22 tahun lalu, bermeditasi sambil bersenam benar-benar membantu seseorang itu untuk tenang apabila diasak dengan pelbagai cabaran hidup. Senaman ini umpama cara kita buang toksin dalam diri.

“Senaman yoga ini perlu konsisten, ia digabungkan bersama cara pemakanan sihat yang boleh memberikan manfaat besar terhadap tubuh badan kita,” katanya.

Whatsapp Image 2024 06 25 At 1.39.17 Pm
K Pakiam.

Manakala K Pakiam, 57, merupakan kerani di sebuah hospital swasta turut berkongsi kisahnya, bagaimana senaman yoga membantu tubuh badannya lebih sihat selepas pandemik COVID-19.

“Ketika pandemik lalu, semua orang terkesan dan saya antaranya, virus itu menjejaskan paru-paru menyebabkan tahap kesihatan merosot. Namun menerusi senaman yoga, saya dapat melatih pernafasan untuk menguatkan paru-paru, sekali gus meningkatkan fungsi organ pernafasan.

“Dalam konteks amalan Yoga, prinsipnya bersederhana. Amalan pemakanan dan senaman yoga meditasi yang digabung dengan yoga fizikal ia benar-benar membantu meleraikan masalah saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post ‘Hang Tuah’ bersilat jadi tumpuan
Next post Polis tembak mati dua penjenayah
Ubah saiz-+=