Wajib ‘singgah’ Banda Hilir kalau ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDA HILIR 12 April – Percutian ke Melaka dianggap sebagai tidak lengkap jika tidak singgah ke destinasi pelancongan utama di Banda Hilir.

Meskipun masih dalam ‘mood’ raya destinasi pelancongan utama di Kawasan Zon Bebas Kenderaan, tetap meriah dengan pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan kaum yang singgah untuk bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan.

Bagi Mohd Shahrul Nazrin Jaulin, 27, dari Ranau, Sabah, dia singgah ke Banda Hilir semata-mata untuk mengambil gambar bersama keluarga mentuanya di hadapan bangunan Stadhuys dan air pancut Ratu Victoria.

Jelasnya, dia pasti akan menggunakan kelapangan yang ada untuk bersiar-siar sekitar Banda Hilir setiap kali menyambut Aidilfitri di kampung keluarga isterinya di Muar, Johor.

“Tahun ini merupakan kali kedua hari raya bersama pasangan dan Insya-Allah memasuki tahun hadapan bakal bertiga.

“Keluarga isteri duduk di Muar, tapi setiap kali raya kami akan berkunjung ke Melaka dan mengabadikan momen di Banda Hilir ini atas permintaan saya.

“Sebab saya memang teruja setiap kali dapat ke Melaka khususnya ke Banda Hilir ini,” jelasnya yang bertugas di sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Photo1712895384
Pengunjung bergambar kenangan di kawasan tumpuan pelancong di sekitar Bangunan Merah, Banda Hilir ketika tinjauan lensa Melaka Hari Ini sempena musim perayaan Aidilfitri.
Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu Iqbal Khan, 24, dari Pasir Gudang, Johor, sanggup berkonvoi bersama ahli keluarga lain untuk beraya di rumah bapa saudaranya di Klebang.

Iqbal berkata, berkonvoi untuk beraya di Melaka sudah menjadi rutin setiap tahun dengan singgah ke Banda Hilir dianggap sebagai pelengkap kunjungan mereka ke negeri ini.

“Ramai waris saya menetap di Melaka, jadi orang kata alang-alang sudah sampai wajib singgah ke Banda Hilir walaupun tak lama.

“Aidilfitiri kali ini lebih istimewa dan meriah kerapa bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). Melaka lagi cantik dan menawarkan pelbagai pakej menarik di setiap lokasi pelancongan.

“Sambil menyelam sambil minum air, sambil ziarahi saudara-mara, kita ambil peluang bercuti melihat keindahan Melaka yang tidak pernah pudar menerusi seni bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di sini,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

224
Kongsi :
Previous post Keunikan Malaysia tambat hati pelancong asing
Next post Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rim tampil juadah tradisional
Ubah saiz-+=