‘TUNAIKAN IMPIAN KELUARGA’

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

MACHAP JAYA 23 September – Kejayaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melangkahkan kaki ke menara gading mungkin dianggap sebagai satu perkhabaran yang biasa buat remaja pada masa kini.

Namun bagi Norsharifa Natasya Reduan, 18, peluang melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menjadi satu kebanggaan buat dirinya sendiri dan seluruh ahli keluarga terutama kakaknya.

Gadis ini memberitahu, sebelum ini kakaknya pernah memasang angan-angan untuk ke menara gading, namun hasrat itu terbantut berikutan ibu bapanya ketika itu kurang berkemampuan, selain mahu memberikan peluang kepada adik-adik yang lain.

“Saya adalah anak ketiga dari empat adik-beradik dan menjadi anak pertama melangkah ke menara gading. Ibu dan ayah adalah orang paling gembira selepas saya mendapat tawaran masuk ke UiTM, insya-Allah mungkin ini menjadi titik permulaan untuk saya membantu menubah nasib keluarga kami.

“Saya bukan orang senang, ayah menyara kami dengan hasil pekerjaan sebagai pemotong rumput,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan ‘One-Off’ Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Parlimen Alor Gajah, disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan di Japerun Machap Jaya, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Ketua Umno Bahagian Alor Gajah Datuk Zahari Abd Kalil dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Senator Datuk Mustafa Musa.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Talib Karim, ini berkata, sumbangan RM400 diterima dianggap sebagai amat besar dan bernilai, sekali gus membantunya membiayai kos pengajian.

“Alhamdulillah dapat ringankan beban ibu dan ayah, sesi kuliah baru sahaja bermula dan banyak hal perlu diuruskan. Wang bantuan diterima akan diguna untuk beli buku dan keperluan lain, terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan TAPEM” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

78
Kongsi :
Previous post BERI BELIA PELUANG KONGSI ASPIRASI
Next post KEMBALIKAN UPSR, PT3 PERLU PENDEKATAN HOLISTIK, ANAK-ANAK BUKAN TIKUS MAKMAL – FADHLINA
Ubah saiz-+=