TUKUN TIRUAN JAGA HABITAT TAMAN LAUT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TELOK MAS 26 September – Jabatan Perikanan Melaka melabuhkan sebanyak 12 tukun tiruan konservasi di perairan Pulau Dodol Taman Laut Melaka dengan jumlah peruntukan bernilai RM374,510.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia menjadikan sebanyak 78 tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan Melaka sejak 2008 dengan nilai keseluruhan RM1,554,067.14.

“Sudah tentu tukun ini kita labuhkan di dalam kawasan taman laut kerana kita mahu menjaga habitat dalam kawasan ini.

“Kita tahu dalam kawasan taman laut ini mempunyai terumbu karang sangat cantik dan spesis ikan yang jarang dijumpai, apabila kita letak tukun ia dapat memelihara kedua-dua habitat ini.

“Alhamdulillah tukun-tukun yang dilabuhkan sebelum ini mendatangkan hasil apabila dalam taman laut ini kita lihat banyak ikan besar-besar dan terumbu karang yang cantik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) di Perairan Pulau Dodol, Taman Laut Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib.

Menurut Dr. Muhamad Akmal usaha melabuhkan tukun itu dilihat mampu menjaga habitat hidupan laut di negeri ini sekali gus membuktikan komitmen Kerajaa Negeri.

“Perairan Pulau Besar adalah Kawasan Larangan Perikanan yang telah diwartakan pada 15 Disember 1994, manakala perairan Pulau Dodol, Pulau Nangka dan Pulau Undan telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara pada 4 April 2023.

“Kedua-dua kawasan perairan satu batu nautika di sekeliling pulau yang telah diwartakan ini adalah dilarang sebarang aktiviti perikanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

151
Kongsi :
Previous post UTEM BANTU NURUL BALQISH SAMBUNG PENGAJIAN
Next post MURID SK JERAM HANDAL BERSILAT
Ubah saiz-+=