Transformasi digital ubah nasib peniaga sate bahu jalan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Langkah yang diambil untuk membawa perubahan dalam bidang perniagaan diceburi nyata membawa impak apabila kemajuan teknologi pendigitalan ‘membuka’ jalan dalam pemasaran produk sate sejuk beku yang diusahakan.

Bagi usahawan Noor Fhazila Mohamad, 48, sebelum mendalami ilmu pendigitalan dia hanya menjual sate di bawah payung di bahu jalan bersama arwah ibunya bermula pada tahun 2010.

Namun semuanya berubah apabila dia mula menyertai Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) pada tahun lalu.

“Selepas menyertai PPU ini banyak input yang saya dapat malah idea untuk membuat sate sejuk beku juga daripada rakan peserta sebelum saya dapat bimbingan daripada beberapa agensi lain.

“Saya mula membuat sate sejuk beku awal tahun ini dan menjualnya di platform dalam talian. Alhamdulillah ia memberi impak jualan yang amat positif,” katanya.

Dia yang dulu dikategorikan sebagai asnaf ditemui pemberita selepas majlis perasmian Program Pendigitalan Usahawan Desa Siri II Zon Selatan yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Che Murad Sayang Ramjan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Menurut ibu kepada lima anak itu, selain mampu menjual sehingga 1,500 cucuk sate pada hujung minggu, dia kini juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan antaranya suri rumah dan ibu tunggal.

“Alhamdulillah, kini jualan misalnya pada hujung minggu ada peningkatan hingga 40 peratus apabila sate dapat dijual hingga 1,500 cucuk berbanding sebelum ini.

“Malah saya juga gembira dapat membantu menyediakan sumber pendapatan khususnya kepada suri rumah dan ibu tunggal termasuk asnaf dengan menawarkan khidmat cucuk sate,” katanya.

Jelasnya, selepas berjaya memasarkan sate sejuk beku dalam masa terdekat ini juga dia akan membawa produknya itu menembusi pasaran luar iaitu ke Pattani, Thailand.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post Kampus Lestari diperluas, perkasa kesedaran alam sekitar di IPT
Next post Permainan ‘RPG’ ilham empayar Kesultanan Melayu Melaka bakal jadi fenomena
Ubah saiz-+=