Teater Muzikal Hikayat Hang Tuah pukau penonton

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KLEBANG 13 Julai – Kisah kehebatan Hang Tuah diangkat menjadi sebuah naskhah teater muzikal istimewa sempena Ulang Tahun Ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO.

Teater Muzikal Hikayat Hang Tuah ‘Ampun Tuanku, Titah Dijunjung’ itu dipersembahkan pada Majlis Perasmian Melaka Heritage Festival 2024 di Encore Melaka, di sini, malam ini, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf dalam ucapannya, berkata, pementasan teater itu digarap dari naskhah Hikayat Hang Tuah, iaitu manuskrip terawal tahun 1758.

Tambahnya, pementasan teater itu mengisahkan sedikit sorotan ketika Hang Tuah 5 bersaudara kecil sehingga dewasa serta sehingga Hang Tuah menjadi seorang laksamana dan pembesar yang bijaksana.

“Kata-kata akhirnya ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia’ merupakan kata keramat yang meniti di bibir-bibir kita hingga ke hari ini.

“Semoga dengan pementasan ini dapat membantu kita memahami perjalanan hidup insan hebat ini terutamanya kepada generasi muda agar dapat memupuk rasa bangga terhadap sejarah yang kita warisi,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf dan isteri Datin Seri Utama Zuriyah Ab. Aziz serta lebih 500 penonton menyaksikan pementasan teater yang dibintangi pelakon popular seperti Remy Ishak, Zul Huzaimy dan Ashraf Muslim itu.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad; Duta Besar Indonesia Ke Malaysia Datuk Indera Hermono serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Yang turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

831
Kongsi :
Previous post Melaka sedia angkat busana klasik lelaki sebagai warisan
Next post Melaka mohon sebahagian tapak warisan dikecilkan
Ubah saiz-+=