Sungai Rambai dilantik DUN Angkat UPM

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SUNGAI RAMBAI 11 Ogos – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai dilantik sebagai DUN Angkat Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, lantikan itu sekali gus mampu mengembangkan sektor pertanian yang berpotensi dalam menjana pendapatan penduduk.

Katanya, DUN Sungai Rambai itu telah dipilih oleh pakar-pakar penyelidik universiti terbabit untuk membantu kawasan terbabit sebagai pusat agropelancongan negeri ini.

“DUN Angkat UPM ini akan diselaraskan oleh Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik atau i-AQUAS UPM.

“I-AQUAS membantu DUN Sungai Rambai melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan perkembangan sektor pertanian dan keterjaminan makanan, seterusnya membangunkan DUN Sungai Rambai sebagai Pusat Agrotourism Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’Bendang Melaka 2024 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kem Benteng Negara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai merangkap Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abdul Azis; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu lain.

Ab Rauf berkata, penganjuran Festival D’Bendang Melaka itu mampu menjadi medan buat golongan usahawan desa mengembangkan produk mereka sekali gus menjana pendapatan setempat.

“Saya percaya, menerusi penganjuran karnival seumpama ini bukan saja dapat memberi peluang kepada para usahawan desa mempromosikan produk-produk mereka, malahan dapat membantu meningkatkan pendapatan ekonomi masyarakat setempat.

“Kerajaan Negeri komited memperkasa sektor pertanian dan keterjaminan makanan di negara ini melalui pelbagai pendekatan dan inisiatif khususnya bagi menjamin kesejahteraan rakyat agar terus diberi perhatian.

“Justeru, Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Jelapang Padi Selatan yang akan menggabungkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor bagi menjamin bekalan padi negara pada masa depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

246
Kongsi :
Previous post Lebih 10,000 meriahkan Mini KUD @ Festival D’Bendang Melaka 2024
Next post Isu keganasan global: Jangan leka – Ahmad Zahid
Ubah saiz-+=