Sorting by

×

‘Kami terkesan’ – Peniaga daging

Masa Membaca:2 Minit, 38 Saat

PENGKALAN BATU 3 Dis. – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang ‘menghalalkan’ daging sejuk beku dengan menyeludup dari luar negara tanpa sijil dan logo halal tidak sah, boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap jualan produk berkenaan di pasaran.

Bagi peniaga daging sejuk di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Mizar Mustafa, 32, berkata, serbuan yang berlaku di Johor, semalam sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap jualan diusahakannya sejak lebih 15 tahun lalu.

“Memang terkesan kerana kebanyakannya peniaga menggunakan daging sejuk beku sebab kalau hendak gunakan barang tempatan ini harga agak mahal, manakala daging sejuk beku jauh lebih murah.

PENIAGA daging sejuk beku, Mizar Mustafa

“Jadi, situasi itu (sindiket tidak bertanggungjawab) memberi kesan kepada kami dari segi untuk mendapatkan kepercayaan pembeli dan menjejaskan jualan,” katanya ketika ditemui di pasar berkenaan, di sini hari ini.

Dia yang mewarisi perniagaan keluarga berkata, sebagai pengedar dia sendiri akan turun padang melihat daging sejuk beku yang diambil dari pengedar di Kuala Lumpur adalah asli daripada negara yang dibenarkan mengimport daging halal.

“Contoh sebelum ini apa yang saya dapat, saya akan melihat kotak daging sejuk yang dihantar mempunyai logo halal yang sah..

“Sebelum ini, pernah juga saya dapat kotak berwarna coklat yang hanya bertulis menggunakan pen ‘marker’, jadi saya pulangkan semula dan minta mereka hantar yang betul-betul ‘certified’ (sahkan),” katanya.

Berbeza pula pandangan seorang lagi peniaga daging kambing sejuk beku, T. Selvakumar Thangaraja, 45, yang berkongsi pendapat supaya agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu memantau perkara itu supaya tidak memberikan kesan kepada jualan peniaga daging sejuk beku.

Katanya pengedar atau peruncit secara kecil-kecilan sepertinya adalah pihak terakhir menerima daging sejuk beku sebelum dijual jadi agak sukar untuk menentukan ketulenan atau keaslian daging itu sama ia halal atau berselindung di sebalik logo halal yang tidak sah.

“Kita rasa terkesan juga sebab ramai orang Islam beli dari kita walaupun mereka tahu kita bangsa lain, tapi dia percaya pada kita.

“Jadi, pihak penguatkuasaan kena ambil tindakan daripada sana, pantau syarikat besar di Kuala Lumpur yang hantar ke Melaka dan pembekal-pembekal di pasar borong.

“Bagi saya sendiri saya mengambil pendekatan dengan memastikan pengedar mengemukakan sijil halal setiap kali membuat penghantaran sebulan sekali,” katanya.

Bagi Nekmat Sabtu, 68, sebagai pembeli dia lebih gemar membeli daging segar berbanding daging sejuk beku, meskipun ada perbezaan harga.

NEKMAT Sabtu

“Saya lebih suka daging segar kerana, sebagai pembeli kita kadang-kadang tidak tahu ketulenan daging itu sendiri dari segi penyembelihan sama ada ia halal atau tidak untuk orang Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar ketika dihubungi menegaskan setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan mengenai keraguan daging sejuk beku yang dijual di pasaran negeri ini.

Bagaimanapun katanya, serbuan yang dijalankan rakan agensinya di Johor Bahru tidak memberi kesan terhadap harga jualan atau permintaan daging sejuk beku di Melaka.

“Dari segi harga daging hari ini memang biasa sahaja tiada kenaikan, jadi untuk Melaka, tiada isu daging kerana kes yang berlaku di Johor Bahru itu tidak memberi kesan kepada negeri lain,” katanya.

Views:

1720
Kongsi :
Previous post Harga bawang India naik: Pilih bawang negara lain – KPDNHEP
Next post JPJ Johor keluarkan 395 notis kepada pemandu, pemilik lori bawa lebih muatan
Ubah saiz-+=