Rezeki raya menang kereta Proton Saga

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 April – “Gembira, sebak semua adalah apabila diberitahu saya menang kereta. Alhamdulillah rezeki Ramadan,” itu kata pemenang utama cabutan bertuah Mimie Effida Mustafar.

Mimie Effida, 44, diumumkan sebagai pemenang utama selepas kupon pembeliannya terpilih dan dia berjaya dihubungi oleh pihak penganjur Bazar Aidilfitri bagi memaklumkan dia memenangi sebuah kereta Proton Saga.

Menurut Mimie Effida, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi hadiah utama kerana hanya berbelanja RM100 dan menghantar dua kupon penyertaan sahaja.

Namun begitu, dia tetap berdoa agar akan ada rezeki untuk mendapat hadiah sampingan yang lain kerana bukan mudah untuk nama dipilih disebabkan terdapat puluhan ribu kupon penyertaan.

“Saya ingatkan semalam sepupu ‘scam’ kerana dia suka bergurau tetapi apabila diterangkan dengan jelas dan diminta nombor kupon barulah saya percaya tetapi ketika itu masih tidak tahu saya pemenang utama.

“Ketika datang berbelanja minggu lalu, saya berbelah bahagi untuk menghantar penyertaan cabutan bertuah ini tetapi anak sulung bersungguh-sungguh malah dia sanggup berjalan jauh untuk hantar,” katanya ketika ditemui di Bazar Lotus Ceria Raya, Peringgit.

Terdahulu, penyampaian hadiah cabutan bertuah itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.

Menurut, pembantu pengurusan murid pendidikan khas itu, dia amat bersyukur kerana terpilih memenangi sebuah kereta dan dengan adanya kenderaan itu ia akan memudahkan lagi urusan keluarganya.

“Sepatutnya kami sekeluarga pulang ke kampung di Felda Palong 3, pukul 9 malam tadi tetapi di saat akhir kami terpaksa menangguhkan perjalanan,” katanya.

Sementara itu, penganjur Bazar Lotus Ceria Raya Harmen Hamdani, berkata, bersempena penganjuran kali ke-14 bazar Aidilfitri pihaknya memperuntukkan lebih RM20,000 sebagai hadiah cabutan bertuah sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan.

“Ini adalah kali pertama kita sediakan kereta sebagai hadiah utama dan selain itu untuk hadiah kedua, pemenang bertuah akan dapat wang tunai RM2,000 dan ketiga RM1,000 malah terdapat juga hadiah wang tunai sampingan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post Keprihatinan MAIM ukir senyuman asnaf
Next post TYT, KM saksikan cerapan Hilal Syawal
Ubah saiz-+=