Populariti Fan Bingbing, nilai tambah tarik pelancong China ke Malaysia – KM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 14 Jun – Populariti dimiliki selebriti antarabangsa dari China, Fan Bingbing dengan lebih 63 juta pengikut di media sosial dilihat mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelantikan bintang drama dan filem itu sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) adalah relevan dalam menarik kedatangan pelancong seantero dunia ke Malaysia.

Beliau berkata, kehadiran selebriti tersebut yang pada awalnya tertarik dengan pelancongan Melaka sebelum dilantik menjadi duta bakal meluaskan lagi jaringan promosi TMM2024 di pelbagai platform.

“Kehadiran Bingbing pada peringkat awal untuk menjadi seorang pelancong biasa tetapi atas cadangan daripada pengurusnya yang juga anak tempatan, ia akan menjadi pemangkin merancakkan pelancongan.

“Saya menjangkakan kehadiran beliau ini dapat mempromosikan kawasan-kawasan menarik di negeri ini, sekali gus membantu menarik pelancong dari China datang Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kunjung Hormat Fan Bingbing ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pejabat Ketua Menteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong; delegasi dari China serta beberapa kenamaan lain.

Difahamkan, Fan Bingbing yang pernah membintangi filem seperti ‘X-Men: Days of Future Past’ dan My Fair Princess itu juga akan mengikuti siri lawatan ke Melaka sehingga 16 Jun (Ahad), selain mengadakan sesi โ€˜Meet and Greetโ€™ bersama peminat di Encore Melaka, esok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

329
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri terima kunjung hormat selebriti antarabangsa, Fan Bingbing
Next post Agong berkenan masyhur Masjid Sultan Ibrahim
Ubah saiz-+=