Polis jamin siasatan tiada unsur berat sebelah

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

ALOR GAJAH 11 April -Siasatan telus akan dijalankan terhadap kemalangan  video tular membabitkan seorang remaja yang parah sebelum meninggal dunia akibat motosikal ditunggangnya bertembung dengan kenderaan polis dalam kejadian di Jalan Gangsa-Kesang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit dalam apa jua kesalahan termasuk dalam kes berkenaan.

Katanya, pihaknya akan memastikan tiada unsur berat sebelah dalam memastikan kes berkenaan disiasat secara telus.

“Pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan menjalankan siasatan secara telus dan adil dalam mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Polis tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pegawai dan anggota. Tindakan tegas akan diambil dan tiada unsur berat sebelah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kejadian pada jam 2.56 pagi itu, motosikal ditunggang Mohammad Khairul Basahri, 18 bertembung dengan sebuah kenderaan polis ketika kenderaan itu membelok kanan.

Mangsa yang parah di bahagian kaki dan badan bagaimanapun meninggal dunia ketika dirawat di zon merah pada jam 12.57 tengah malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya diwakili Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed bersama pegawai penyiasat dan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah turut mengadakan lawatan ahli keluarga mangsa di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

“Dalam pertemuan bersama ibu, ayah dan abang arwah, pihah polis merakamkan ucapan takziah dari pucuk pimpinan PDRM.

“Segala kos memandikan dan mengkafankan jenazah ditanggung oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan urusan pengebumian  menggunakan van jenazah polis.

“IPD ALor Gajah juga telah menawarkan pergerakan van jenazah akan dieskot oleh kereta peronda polis (MPV) bagi urusan pengebumian,” katanya.

Terdahulu, klip video berkaitan nahas itu turut tular di laman sosial memaparkan kenderaan polis tersebut memasuki simpang kanan sebelum dirempuh motosikal mangsa sehingga mengakibatkan mangsa tercampak.

Video berkenaan juga menimbulkan reaksi netizen yang mendakwa kenderaan polis berkenaan tidak memberikan lampu isyarat sebelum memasuki simpang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

269
Kongsi :
Previous post Tiga warga Pakistan maut dilanggar kereta terbabas
Next post Remaja maut motosikal rempuh belakang treler
Ubah saiz-+=