Pewaris tangan emas nenek

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Jun – Mewarisi kemahiran seni anyaman rotan daripada neneknya dianggap sebagai satu perkara yang amat berharga buat Habibah Aziz, 72.

Bermula dari bangku sekolah hingga kini Habibah, tidak pernah jemu dan terus menganyam bagi menghasilkan pelbagai jenis produk berkualiti berasaskan rotan.

Anak kelahiran Jasin ini berkata, bagi meningkatkan lagi tahap kemahiran dia memasuki kelas anyaman rotan pada 2019 selepas bersara sebagai pembantu tadbir sekolah.

“Saya memang minat seni anyaman, ini adalah tradisi nenek yang suka menganyam tikar dan saya ambil peluang membuat bakul ketika itu.

“Alhamdulillah sehingga sekarang saya mampu hasilkan anyaman bakul baju, dulang makanan, alas pinggan, bakul bawang, bakul telur dan macam-macam lagi.

“Biasanya untuk menyiapkan sebiji bakul besar memerlukan masa dua minggu jika benar-benar fokus, kalau minat sudah tentu tiada masalah untuk hasilkan kraftangan ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Melaka Agrofest 2024 di Dataran Sejarah, di sini, pada Jumaat.

Ibu kepada enam cahaya mata ini berkata pernah menerima tempahan sehingga 500 biji bakul telur untuk majlis perkahwinan.

“Setiap hari saya habiskan masa di bengkel dari jam 2 hingga 5 petang untuk siapkan kraftangan rotan ini. Sekarang saya masih menerima tempahan jika ada yang berminat.

“Sambutan orang yang membeli kraftangan ini kurang kerana bergantung kepada minat seseorang itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

67
Kongsi :
Previous post PENDIKA rai sembilan veteran pengamal media sempena HAWANA 2024
Next post Lelaki maut, dua wanita serta bayi perempuan parah
Ubah saiz-+=