PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA BAWA REZEKI BUAT PENGUSAHA CHALET, INAP DESA

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

TANJUNG BIDARA 11 September – Pengusaha inap desa dan chalet di sekitar kawasan Tanjung Bidara, di sini, tidak menang tangan apabila bertalu-talu menerima panggilan telefon daripada pengunjung yang ingin menginap di premis itu bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, hujung minggu ini.

Pesta yang berlangsung selama tiga hari lagi bermula 13 September itu nyata memberi limpahan rezeki buat penduduk tempatan di kawasan itu.

Menurut pemilik Cindai Chalet, Azmi Dewa, bermula awal minggu ini dia menerima banyak panggilan pelancong dan pengunjung yang ingin menempah bilik sempena Pesta Pantai Tanjung Bidara itu.

“Kebanyakan pemilik homestay atau chalet di sini, kami sudah diberitahu awal tentang penganjuran ini dan diminta untuk memberi penginapan sekiranya ada lagi unit yang kosong pada tarikh berkenaan.

“Boleh dikatakan panggilan yang diterima lebih banyak daripada hari biasa atau cuti sekolah. Namun, dengan berat hati saya terpaksa saya tolak kerana kesemua bilik di chalet saya sudah penuh ditempah,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di chaletnya di Kampung Balik Batu, di sini.

Menurut Azmi, inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang merangka penganjuran pesta pantai dengan pelbagai aktiviti dan acara menarik berjaya menarik perhatian orang ramai untuk bercuti di Tanjung Bidara.

“Sebagai pengusaha premis penginapan saya amat menyambut baik program berskala besar seperti ini dianjurkan di kawasan Tanjung Bidara kerana secara tidak langsung dapat mempromosikan keindahan Pantai Tanjung Bidara,” katanya.

Sementara itu, pemilik Dina Guest House, Roslyn Mohammad berkata, dia agak hairan kerana menerima panggilan bertalu-talu mengenai kekosongan bilik pada 13 hingga 15 September, sehinggalah dimaklumkan akan berlangsungnya Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024.

“Bukan tidak pernah terima panggilan yang banyak tetapi kali ini terlalu banyak boleh katakan lebih 30 panggilan dan pesanan diterima bertanyakan kekosongan pada tarikh yang sama.

“Apa yang boleh saya katakan pengisian dan pelbagai program yang diatur menarik minat orang ramai untuk hadir dan turut serta,” katanya.

Img 20240910 Wa0007
JUNAIDAH

Bagi seorang lagi pengusaha inap desa yang juga pemilik Teratak Kasih Oma, Junaidah Gani berkata, dia dengan berat hati terpaksa menolak tempahan kerana premisnya sudah penuh ditempah lebih awal.

“Panggilan memang banyak diterima tetapi terpaksa saya tolak dengan baik kerana tidak mahu pemanggil berkecil hati, tambahan pula tarikh berlangsung pesta pantai itu juga adalah pada musim cuti sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

635
Kongsi :
Previous post MENABUNG DI SSPN, BERPELUANG MENANG HADIAH!
Next post TERLELAP PUNCA MYVI ‘TERJUN’ JAMBATAN
Ubah saiz-+=