PESTA BUKU MELAKA 2024 ‘LUBUK’ PENCINTA BUKU

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 September – Lebih 40 reruai pameran menyajikan pelbagai genre bahan bacaan untuk dijual pada Pesta Buku Melaka 2024 yang berlangsung bermula semalam hingga Ahad.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum berkata, acara tahunan itu boleh dijadikan medan yang paling sesuai untuk penulis dan penerbit mempromosi buku-buku terbaharu.

Beliau optimis penganjuran pesta buku itu berupaya menjadi motivasi kepada penulis-penulis untuk terus menghasilkan karya dan penulisan yang berkualiti serta menjadi tempat untuk penerbit-penerbit buku memasarkan buku terbaharu secara terbuka.

“Pesta Buku Melaka 2024 bukan sahaja menjadi tempat pertemuan pencinta buku dengan pemain industri buku, tetapi dilihat berperanan besar untuk memupuk semangat membaca selaras dengan hasrat Kerajaan dalam Dekad Membaca Kebangsaan yang menyasarkan Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang tahun 2030.

“Walaupun berlaku revolusi penulisan dan pengeluaran buku serta saingan dari bahan bacaan digital dan dari sumber internet, Pesta Buku ini terus mendapat sambutan yang baik dan terus mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Buku fizikal masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat berbanding dengan buku digital dan pesta buku menjadi medan paling sesuai untuk penulis dan penerbit promosi buku-buku baharu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Buku Melaka 2024 Anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), Mohamed Aizammuddy Mohamed; Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Selatan, Mohd Riduwan Wahab serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata pesta buku itu turut dinanti-nantikan oleh pencinta buku kerana ia menghimpunkan pelbagai jenis bahan bacaan meliputi pelbagai peringkat umur.

“Penganjuran Pesta Buku Melaka ini merupakan satu inisiatif yang yang cukup baik kerana ia mampu menyuburkan amalan membaca dan seterusnya membantu memperkasakan industri buku negara,” katanya.

Pada majlis itu, Ibrahim turut menyampaikan hadiah Pertandingan Choral Speaking, di mana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka dinobat sebagai johan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

222
Kongsi :
Previous post PELBAGAI PAMERAN MENARIK DI EKSPO TVET @KKDW 2024
Next post HOTEL MITC TAWAR POLISI PENGINAPAN 24 JAM
Ubah saiz-+=