Penceritaan kisah ketokohan Dol Said, Othman Shawal bawa tuah

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Julai – Penceritaan kisah ketokohan dua figura terkenal Negeri Melaka iaitu Dol Said dan Othman Shawal membawa tuah buat dua murid sekolah rendah apabila dinobat johan pada program Kembara Sejarah ProBEST@AG 2024 Daerah Alor Gajah Peringkat Parlimen Masjid Tanah.

Pada pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, di sini, semalam, Muhammad Raif Iman Muhammad Najib, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat dinobat johan bagi kategori Tahun Lima, manakala Nur Syifa Aleesya Mohd Najib, 12, dari SK Othman Shawal mengungguli kategori Tahun Enam.

Menurut Muhammad Raif Iman, dia yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning memilih kisah Dol Said pada pertandingan itu bagi memberi pendedahan kepada rakan-rakan seangkatannya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keperwiraan figura itu.

Katanya, bakat bercerita itu telah digilap sejak kecil oleh bapanya hingga membuatkannya lebih berani menyertai pertandingan apa jua pertandingan meskipun terpaksa berdepan khalayak ramai.

“Sejujurnya, saya terkejut apabila diumum johan kerana bagi saya semua finalis cukup hebat. Namun mungkin sudah tertulis rezeki untuk saya memenangi pertandingan ini.

“Terima kasih diucap kepada keluarga, guru-guru yang membimbing dan tidak dilupa kepada Ketua Menteri yang banyak memberi sokongan dalam penganjuran program berkaitan sejarah di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Nur Syifa Aleesya pula meluahkan rasa bangga kerana dapat berkongsi kepada umum mengenai kisah ketokohan Othman Shawal sehingga nama figura itu diangkat untuk diabadikan pada nama sekolahnya yang terletak di Kuala Linggi.

Menurutnya, Othman Shawal merupakan antara watak penting dunia pendidikan di negeri ini apabila telah menyumbang 200 buah basikal kepada pelajar di sekitar Masjid Tanah untuk menarik minat mereka mendapatkan pendidikan di sekolah suatu masa dahulu.

“Walaupun persiapan sangat singkat, namun saya bangga kerana dapat menyampaikan kisah tokoh sekolah yang memberi inspirasi kepada dunia pendidikan pada masa itu.

“Berkat tunjuk ajar dan dorongan guru, saya bertambah yakin untuk bercerita kisah ini dan apabila diumum sebagai pemenang hanya rasa gembira dapat saya gambarkan,” katanya.

Selaku johan, kedua-dua mereka menerima hadiah berupa Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM700, trofi, sijil kemenangan dan cenderamata.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turut menyempurnakan majlis perasmian penutupan program berkenaan.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu serta lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

181
Kongsi :
Previous post Melaka sedia 10 anugerah untuk usahawan terbaik
Next post Indonesia-Melaka sepakat jalin kerjasama martabat seni, budaya
Ubah saiz-+=