Op Kesan 2.0 Fasa 1, KPDN periksa 80 premis

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SERI NEGERI 10 Julai – Sebanyak 80 premis sekitar Melaka membabitkan 108 jenis perkhidmatan dan barangan diperiksa menerusi Ops Kesan 2.0 Fasa 1 setakat 20 Jun lalu.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata pemeriksaan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Melaka itu bagi mengenal pasti peniaga terlibat dengan penyasaran subsidi diesel.

Katanya, peniaga yang diperiksa diminta mengemukakan perincian maklumat caj dikenakan bagi memastikan maklumat awal penawaran perkhidmatan atau pembekalan barangan di bawah penyasaran semula subsidi diesel dapat dikenal pasti.

“Beberapa pendekatan telah dilaksanakan bagi membendung aktiviti menaikkan harga barangan atau perkhidmatan ini seperti pemantauan dan penguatkuasaan melalui pelaksanaan Op Kesan 2.0 bermula 8 Jun 2024.

“Op ini untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan caj perkhidmatan atau harga barangan ekoran perubahan harga diesel kepada kadar RM3.35 seliter berbanding harga RM2.15 seliter sebelum ini.

“KPDN akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan ke premis-premis yang dikenal pasti bagi mengesan sekiranya berlaku sebarang aktiviti peningkatan caj atau harga barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) mengenai penguatkuasaan dilaksanakan terhadap subsidi diesel bersasar pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di sini hari ini.

Ujarnya, tindakan tegas bakal dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mengambil kesempatan mencatut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post Duta Kesihatan Persekitaran MPHTJ bantu bendung denggi
Next post 654 perumahan mampu milik dibina di Semujok
Ubah saiz-+=