Mini KUD @ Festival D’Bendang jadi program tahunan semarakkan pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SUNGAI RAMBAI 11 Ogos – Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’Bendang akan dijadikan sebagai program tahunan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, selain memeriahkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) penganjuran festival itu bakal menggamit dan menyemarakkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, program yang dianjurkan itu berpotensi besar dalam meningkatkan sektor pelancongan luar bandar.

Malah beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi penganjuran festival sama pada tahun hadapan.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri dan KKDW akan bekerjasama membiayai perbelanjaan sambutan ini pada tahun hadapan.

“Potensi penganjuran ini begitu besar sebenarya kerana bukan sahaja diraikan oleh rakyat Melaka namun ia turut menarik perhatian pengunjung dari negeri sekitar terutama dalam Daerah Muar dan Selatan Johor untuk berada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan itu di Kem Benteng Negara, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai merangkap Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abdul Azis, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Zahid berkata, penganjuran itu akan ditambah baik dengan pelbagai promosi bagi memastikan ia menggamit lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Mengulas lanjut beliau berkata. sebagai langkah mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 pula, KKDW turut bekerjasama bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Program ini adalah antara platform memperluaskan industri pelancongan. Bukan hanya mampu menarik pelancongan domestik namun jika promosinya dijalankan berterusan ia akan menerima sambutan lebih-lebih lagi pada 2026 kita akan menyambut Tahun Melawat Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

92
Kongsi :
Previous post Teruja lihat orang ramai ‘berkubang’ di bendang
Next post TPM umum RM1.5 juta anjur Mini KUD @ D’Bendang tahun depan
Ubah saiz-+=