Memerang tersesat masuk rumah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

REMBIA 22 Jun – Penduduk di Taman Rembia Setia, di sini, gempar apabila seekor memerang kecil atau nama saintifiknya Aonyx Cinerea tersesat di dalam rumah, baru-baru ini.

Memerang berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah sebaik menerima panggilan.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, sepasukan empat anggota APM digerakkan ke lokasi untuk menyelamatkan haiwan berkenaan.

“Sejurus tiba anggota APM mendapati memerang itu berkeliaran di dalam rumah berkenaan sehingga ke dapur.

“Namun, ia tidak bertindak agresif ketika dihampiri dan berjaya ditangkap dengan tangan oleh anggota APM dalam masa tujuh minit,” katanya.

Abdul Hadi berkata, memerang itu dianggarkan seberat dua kilogram dan panjang lebih 68 sentimeter dipercayai haiwan peliharaan dan bukannya spesies liar, namun tiada sebarang tanda atau lesen ditemui padanya.

Sementara itu, pemanggil, Mariam Majid, 57, berkata, dia sedang mengemas rumah bersama anak perempuan sebelum dikejutkan dengan bunyi bising kucing mengiau kuat dari arah hadapan rumah.

Katanya, sebaik diamati dia terkejut melihat seekor memerang menyorok di celah pasu bunga kerana dikejar dan dikerumuni oleh tiga ekor kucingnya.

“Kebetulan pintu rumah terbuka, ia meluru masuk ke rumah membuat saya dan suami serta dua anak terperanjat.

“Saya syak memerang itu lapar dan bersyukur ia dapat diselamatkan anggota APM Alor Gajah selepas dihubungi oleh anak perempuan saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

338
Kongsi :
Previous post 16 Politeknik ambil bahagian Kejohanan Ragbi POLY 7s
Next post Kempen Pengurusan Anjing Terbiar inisiatif kurangkan populasi anjing liar
Ubah saiz-+=