Melaka sedia hadapi peralihan monsun

Masa Membaca:56 Saat

PAYA RUMPUT 11 April – Perbincangan bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan peralihan monsun sentiasa diadakan bersama jabatan dan agensi peringkat negeri dan persekutuan yang berkenaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya juga kerap mengadakan perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Melaka berhubung perkara itu.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, semua agensi perlu melakukan persiapan selepas berakhirnya Monsun Timur Laut sekitar November lalu yang kebiasaannya akan menyebabkan kekerapan kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang.

“Kita sudah minta MetMalaysia untuk buat pengumuman awal mengenai sebarang perubahan cuaca, maklumat ini penting khusus untuk persediaan orang ramai.

“Pelbagai agensi seperti Nadma sehinggalah ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kita akan sentiasa bersedia, tetapi setakat ini tiada insiden-insiden banjir atau apa-apa yang teruk berkaitan bencana alam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Kompleks Sukan Komuniti Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

193
Kongsi :
Previous post Kaji semula penempatan Bazar Aidilfitri 2025
Next post Lelaki Israel akan didakwa pagi ini
Ubah saiz-+=