Melaka sedia angkat busana klasik lelaki sebagai warisan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KLEBANG 13 Julai – Melaka sedia untuk mengangkat busana klasik lelaki zaman dahulu kala sebagai antara warisan kebudayaan tidak ketara yang perlu dipertahankan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia bagi memastikan keunikan pakaian lama seperti itu tidak luput ditelan zaman dan dapat didedahkan kepada generasi akan datang.

Jelas beliau, sama seperti kebaya yang bakal dicalonkan di bawah ‘Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity’ Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), busana klasik lelaki juga wajar diiktiraf.

“Selain kebaya, kita juga mahu pakaian warisan lama iaitu busana klasik lelaki juga diangkat sebagai warisan budaya Melayu yang perlu dipelihara.

“Insya-Allah kita akan usulkan agar busana ini juga dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi, sama seperti kebaya yang dicalonkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Melaka Heritage Festival 2024 Sempena Ulang Tahun Ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia – UNESCO, di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad; Duta Besar Indonesia Ke Malaysia Datuk Indera Hermono serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Yang turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.

Melaka Heritage Festival yang dianjurkan Kerajaan Negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menampilkan pelbagai acara menarik untuk rakyat Melaka dan pelancong.

Antaranya, perarakan kebaya dan busana klasik membabitkan lebih 400 peserta di perkarangan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir.

Selain itu, turut diadakan pementasan Teater Muzikal Hikayat Hang Tuah ‘Ampun Tuanku, Titah Dijunjung’ yang dibintangi pelakon terkenal tanah air seperti Remy Ishak, Zul Huzaimy dan Ashraf Muslim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

135
Kongsi :
Previous post Jualan tiket lebih sistematik, utamakan keselamatan pengunjung
Next post Teater Muzikal Hikayat Hang Tuah pukau penonton
Ubah saiz-+=