Melaka jadi negeri Gedung Pantun Negara

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 11 Julai – Melaka akan diperkenalkan sebagai negeri Gedung Pantun Negara bagi memastikan warisan budaya itu dimartabatkan sebagai khazanah negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perancangan itu akan dilaksanakan sebagai langkah susulan yang diambil negeri ini selepas melancarkan Gerbang Pantun Melaka sebelum ini.

Katanya, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk menghimpunkan lebih 5,000 rangkap pantun terbaik bagi memastikan ia terus kekal terpelihara pada masa akan datang.

“Kita mahu jadikan Melaka sebagai Gedung Pantun Negara yang mana sebelum ini kita telah melaksanakan Gerbang Pantun Melaka sebagai sebuah platform menyimpan pantun terbaik untuk dipelihara.

“Melaka telah mula mengambil pelbagai inisiatif untuk menggerakkan perkara ini, kita telah mewujudkan satu pantun untuk satu kampung selain satu jabatan dan sekolah untuk satu pantun yang dipamerkan di pintu gerbang sebagai menyambut tetamu yang datang.

“Pantun merupakan satu khazanah yang bernilai kerana ia merupakan sebuah medium perhubungan antara komuniti suatu ketika dahulu terutama dalam pernikahan, perkahwinan dan sebagainya yang menjadi medium bicara antara komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Malam Sirih Bertepuk Pinang Menari sempena Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari; Timbalan Pengarah Sektor Kebudayaan dan Kesenian JKKN Rosnan Nordin, serta tetamu lain.

Terdahulu, program bertemakan ‘Membuanakan Pantun Khazanah Pusaka Bangsa’ telah menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta membabitkan pelbagai jabatan, agensi serta institusi awam dalam kolokium selama dua hari.

Pelbagai acara menarik turut dilaksanakan termasuk pameran, acara jual beli pantun daripada Ab Rauf serta persembahan kebudayaan.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, setakat ini Melaka telah mengumpulkan lebih 1,000 pantun dari seluruh negeri ini di dalam laman sesawang Gerbang Pantun Melaka.

Katanya, langkah itu akan diteruskan dengan pelbagai penganjuran dan pertandingan bagi memastikan karya warisan zaman dahulu terus kekal dimartabatkan.

“Seperti penganjuran yang diadakan pada malam ini ia merupakan antara salah satu langkah terbaik bagi memastikan warisan ini terus dipelihara.

“Kita akan meneruskan lagi pelbagai penganjuran antaranya akan mengadakan Pertandingan Pantun Nusantara yang akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post Olimpik Paris 2024: Anak jati Ujong Pasir tekad beri yang terbaik
Next post Papan tanda ‘1 Kampung 1 Pantun’ Melaka ditambah baik
Ubah saiz-+=