Melaka dapat perhatian lebih 160 juta rakyat China di media sosial

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 19 Jun – Pelantikan Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) nyata memberi impak tersendiri apabila nama negeri ini menjadi sebutan di media sosial.

Ia selepas lebih 160 juta rakyat China membuat carian mengenai Melaka di platform WeChat dalam tempoh dua hari iaitu pada 14 dan 15 Jun.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman turut berkongsi berita membanggakan itu di platform media sosialnya.

Dalam hantaran tersebut, Abdul Razak mengulang siar statistik carian WeChat di China yang dikongsi oleh pengurus pelakon popular dari China itu.

Berdasarkan statistik WeChat pada 14 Jun lalu, seramai 165,082,653 rakyat China telah membuat carian mengenai Melaka, manakala carian mengenai Fan Bingbing ialah sejumlah 334,883,965.

Pada 15 Jun pula, seramai 161,972,679 rakyat China membuat carian mengenai Melaka dan carian mengenai Fan Bingbing terus melonjak kepada 461,138,243 orang.

Statistik itu turut menunjukkan carian mengenai Melaka dan Fan Bingbing jauh mengatasi dua acara besar yang berlangsung pada tempoh sama iaitu Shanghai International Film Festival dan Weibo Movie Awards Ceremony 2024.

Ia memberi gambaran jelas bahawa populariti dimiliki pelakon yang pernah membintangi filem X-Men Days of Future Past itu mampu melonjakkan lagi kehadiran pelancong dari China ke Melaka pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang.

Mana tidaknya, di platform media sosial, Fan Bingbing turut mempromosikan beberapa produk pelancongan menarik yang ada di Melaka, antaranya Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Muzium Kesultanan Melayu Melaka dan lain-lain lagi.

Malah, tinjauan di platform media sosialnya, selebriti itu sempat mempromosikan makanan-makanan enak yang terdapat di Melaka, antaranya, laksa nyonya serta cendol durian.

Pada hantarannya, Fan Bingbing turut menyatakan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Abdul Razak, penaja-penaja, selain Tourism Melaka yang disifatkan sebagai penganjur terbaik sepanjang beberapa hari di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

129
Kongsi :
Previous post Sindiket edar dadah guna but kereta diubah suai tumpas
Next post Karnival D’Bendang Sungai Rambai Julai depan lebih ‘havoc’
Ubah saiz-+=