Melaka cakna kebajikan mantan Adun

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SERI NEGERI 9 Julai – Meskipun tidak dilindungi insurans kesihatan, kebajikan mantan wakil rakyat Negeri Melaka tetap mendapat perhatian termasuk menikmati kemudahan rawatan di hospital kerajaan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sejak 2022 Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM150,000 bagi membolehkan mantan adun mendapat perkhidmatan kesihatan di hospital.

Dr. Muhamad Akmal yang mewakili Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, peruntukan itu bagaimanapun terpakai bagi perkhidmatan ditawarkan di hospital kerajaan sahaja.

“Setakat ini tidak ada insurans perlindungan kesihatan diberikan, namun atas keprihatinan, menghargai pengorbanan dan jasa yang mereka tabur sebelum ini kita telah menyediakan peruntukan itu.

“Peruntukan ini juga termasuk untuk mereka mendapatkan perkhidmatan dialisis biarpun rawatan ini tidak termasuk dalam subsidi kerajaan pusat untuk dirawat di hospital kerajaan.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa cakna dan mengambil berat atas jasa yang diberikan kepada Melaka dan peruntukan ini akan terus dilaksanakan kepada mana-mana mantan Yang Berhormat (YB) atau Ketua Menteri meskipun berlainan parti,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, Kerajaan Negeri perlu memperuntukkan sebanyak RM311,000 sekiranya perlindungan kesihatan itu disediakan di hospital swasta.

Malah ujarnya, Kerajaan Negeri bersedia untuk mempertimbangkan sekiranya terdapat beberapa rawatan yang perlu dilaksanakan dihospital swasta.

“Seperti contoh jika ada mana-mana mereka memerlukan perkhidmatan pakar yang tidak ada di hospital kerajaan ia boleh dipertimbangkan untuk jalani rawatan di hospital swasta.

“Ingin diperbetulkan inisiatif ini adalah bukan berbentuk insurans namun ia adalah peruntukan hasil daripada keprihatinan Kerajaan Negeri tetapi mereka perlu memaklumkan kepada kita supaya ia boleh dibincangkan di peringkat dewan.

“Seramai 116 bekas wakil rakyat telah berkhidmat di negeri ini dan seramai 32 orang yang layak menerima peruntukan ini berdasarkan syarat umur iaitu dari 18 hingga 65 tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post RM43.5 juta selesai masalah pengairan sawah DUN Klebang Fasa 2
Next post Kelantangan pembesar suara masjid, Melaka junjung titah Agong
Ubah saiz-+=