Melaka Bila Larut Malam edisi pertama raih RM95,109

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 12 Julai – Program Melaka Bila Larut Malam edisi pertama pada 1 Jun lalu meraih pendapatan bernilai RM95,109.00 menerusi enam produk pelancongan yang terlibat.

Exco Pelancongan,Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata data terbabit diambil selepas diselaraskan oleh Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri.

Katanya, mengikut pecahan daripada nilai terbabit Zoo Melaka mencatatkan kehadiran pengunjung tertinggi dengan rekod seramai 4,120 pengunjung dan berjaya meraih RM40,120 dalam tempoh tiga jam pelaksanaan Program Melaka Bila Larut Malam.

“Manakala Melaka River Cruise merekodkan 3,896 pengunjung dan meraih pendapatan RM33,620 diikuti Menara Taming Sari dengan kehadiran 1,357 orang dan meraih RM11,930.

“Ia diikuti muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) merekodkan 648 pengunjung dan meraih pendapatan RM6,480; Muzium Penjara Malaysia Melaka pula menerima 770 pengunjung dan pendapatan diraih sebanyak RM1,679 dan Panggung Bangsawan dikunjungi seramai 230 orang dan meraih RM1,280,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di sini, semalam.

Terdahulu, Abdul Razak menjawab soalan lisan daripada Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) mengenai keberkesanan penganjuran Program Melaka Bila Larut Malam.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata Kerajaan Negeri yakin edisi Melaka Bila Larut Malam yang akan datang akan turut membawa limpahan ekonomi yang lebih baik bukan sahaja kepada pemilik pusat pelancongan malahan akan turut dinikmati oleh masyarakat setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

165
Kongsi :
Previous post Zon Bebas Kenderaan Melaka bertaraf lima bintang
Next post Kerajaan masih teliti semula subsidi, bantuan kepada rakyat termasuk petrol RON95
Ubah saiz-+=