Melaka Bila Larut Malam pada 31 Ogos

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 9 Ogos – Program Melaka Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’ bagi edisi akan datang diawalkan ke 31 Ogos ini bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu juga amat bersesuaian kerana Melaka turut menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan di Banda Hilir pada tarikh yang sama.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, keputusan itu sudah pasti mampu menggamit lebih ramai pengunjung dan pelancong yang memilih untuk bercuti di Negeri Melaka.

“Melaka satu-satunya negeri menganjurkan program ini dan ia akan berterusan, kita boleh mengubah tarikh mengikut kesesuaian waktu khususnya yang membabitkan musim-musim perayaan.

“Sebelum ini Melaka Bila Larut Malam diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan, namun kita akan ubah tarikh. Bagi bulan ini kita pinda ke malam 31 Ogos bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

“Selain itu sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dipindahkan ke lokasi baharu iaitu di hadapan pusat beli-belah Mahkota Parade, secara tidak langsung kawasan ini juga menjadi tumpuan bagi Program Bila Larut Malam,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas merasmikan MATTA Fair Melaka 2024 bermula 9 hingga 11 Ogos ini di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Timbalan Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Sheikh Awadh Sheikh Abdullah dan Pengerusi MATTA Melaka, Goh Hock Gin.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Program Bila Larut Malam kini menjadi pilihan penduduk Melaka apabila mereka dapat melancong bersama keluarga selepas jam 12 tengah malam.

“Program ini membuka mata orang ramai bahawa faktor pelancongan ini bukan hanya berada pada waktu siang tetapi sebelah malam iaitu selepas jam 12 tengah malam.

“Ini adalah masa yang berkualiti untuk mereka membawa ahli keluarga masing-masing melancong selepas waktu bekerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

294
Kongsi :
Previous post Pengawal keselamatan terlepas tembakan dalam hospital
Next post LTAM kembali sibuk Oktober depan – KM
Ubah saiz-+=