MELAKA BILA LARUT MALAM 31 OGOS GAMIT LEBIH 10,000 PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 September – Melaka merekodkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung dan pelancong pada program Melaka Bila Larut Malam Edisi September yang diadakan 31 Ogos lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran edisi khas itu diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 dengan tawaran tiket serendah RM10 pada pada lapan pusat pelancongan terlibat.

“Program khas itu menyaksikan seramai 5,123 pelancong dan pengunjung telah mengunjungi lapan pusat pelancongan yang menawarkan harga serendah RM10.

“Manakala seramai 5,078 pelancong dan pengunjung pula memeriahkan sambutan di Dataran Stadthuys di kawasan ‘Melaka Car Free Zone’ atau Zon Melaka Bebas Kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri.

Menurut Ketua Menteri, mengikut statistik dikeluarkan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Melaka River Cruise telah mencatatkan kemasukan tertinggi iaitu seramai 1,879 pelancong, diikuti Menara Taming Sari seramai 776 pelancong dan 732 pengunjung di Zoo Melaka.

“Ia diikuti, Muzium-Muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dengan jumlah 376 orang, Muzium Penjara Malaysia Melaka (202), Cool Ghost Museum (130), Malaysia Heritage Studio (851), Air Panas Jasin (75) dan Air Panas Cherana Putih (102),” katanya.

Jelas Ab Rauf, kebiasaannya inisiatif Melaka Bila Larut Malam akan disambut pada Sabtu minggu pertama setiap bulan, namun edisi September tahun ini telah diawalkan pada 31 Ogos bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-67.

“Kerajaan Negeri Melaka mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pelancong dan pengunjung yang menyokong program ‘Melaka Bila Larut Malam’.

“Kepelbagaian pengisian program yang mengisi kalendar TMM2024 seperti ‘Melaka Bila Larut Malam’ secara tidak langsung mampu menjana pertumbuhan hasil ekonomi khususnya kepada penggiat industri pelancongan dan peniaga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

191
Kongsi :
Previous post WASPADA SMS MENGANDUNGI KANDUNGAN TERLARANG
Next post JIWA KOMUNITI MADANI PUPUK KEBERSAMAAN
Ubah saiz-+=