MASUK PERCUMA UNTUK ‘IC 04 DAN 30’, TERIMA KASIH BERI PELUANG

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDA HILIR 3 September – Tawaran masuk percuma bagi pemegang MyKad ’04’ ’30’ dan pemastautin tetap dilaksanakan Kerajaan Melaka amat dihargai oleh rakyat negeri ini.

Keistimewaan untuk orang Melaka itu adalah sempena Ulang Tahun Kelahiran Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

6246878504826290468

MAHIRAH.

Menurut anak jati Bukit Baru, Mahirah Diniealyaa Kamarul Bahrin, 19, inisiatif tawaran masuk percuma khusus buat rakyat Melaka disifatkannya sebagai satu penghargaan.

Dia turut menzahirkan rasa bangga dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memberi peluang kepada orang Melaka untuk menikmati produk pelancongan negeri sendiri.

“Saya rasa negeri lain tidak buat seperti Melaka yang mampu memberi kemasukan percuma kepada rakyatnya sendiri, saya bersama rakan-rakan bercadang untuk menaiki Eco-Cruise Sungai Linggi pada bulan hadapan.

“Ia memandangkan pemberian masuk percuma itu sehingga Disember. Saya rasa inisiatif ini bagus dan wajar diteruskan lagi pada tahun hadapan,” jelasnya yang bekerja di sebuah kafe di sini.

Inisiatif itu juga membuka peluang buat golongan kurang berkemampuan atau mereka mempunyai ahli keluarga yang ramai untuk beriadah bersama-sama tanpa memikirkan kos tiket masuk ke lokasi pelancongan berkenaan.

6246878504826290466

B.H SABRI.

Pembantu Operasi Muzium Sejarah dan Etnografi, B.H Sabri, 48, berkata masa yang ada akan digunakannya untuk berbincang bersama ahli keluarga bagi memilih lokasi pelancongan yang sesuai mereka lawati.

“Kurang berapa hari lagi sudah cuti sekolah bermula, mungkin kami akan habiskan masa berkualiti bersama-sama di Zoo Melaka, banyak aktiviti boleh dilakukan disana nanti.

“Mungkin boleh tambah lokasi masuk percuma ini contoh taman tema air atau Malaysia Heritage Studios. Dimaklumkan juga, proses pendaftaran di saluran Telegram MyMelaka News bagi mendapatkan kod ‘QR’ bagi tujuan penebusan tiket juga tidak rumit dan mudah,” jelas bapa kepada lima anak yang masih bersekolah.

6246878504826290467

FAIRUS.

Sementara itu Fairus Mamat, 43, berkata, lima anaknya begitu teruja menunggu cuti sekolah untuk menebus tiket masuk dan pada masa yang sama menyifatkan pemberian tersebut sebagai sangat istimewa.

“Tawaran ini jarang berlaku, namun pada tahun ini sahaja sudah dua kali, sebelum ini pada 20 Februari lalu. Selain dapat merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), saya lihat usaha ini bertepatan untuk anak-anak tempatan menikmati kelebihan dan keistimewaan lokasi pelancongan di negeri sendiri. Terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8803
Kongsi :
Previous post JPNIN MELAKA LAKSANA LIMA AKTIVITI UTAMA SEMARAK SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN
Next post JEMAAH MENTERI SETUJU DUA INISIATIF BANTUAN SUBSIDI TIKET PENERBANGAN DITERUSKAN
Ubah saiz-+=