Lukisan lima pahlawan Melaka tarikan terbaharu pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 8 Dis. – Tujuh belas lukisan yang dihadiahkan mantan Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid kepada kerajaan negeri bakal menjadi tarikan baharu pelancongan apabila hasil seni itu dipamerkan di Perkampungan Hang Tuah, Duyong awal tahun hadapan.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Drs. Mohd Nasruddin Rahman berkata, pemberian semua lukisan tersebut kepada kerajaan negeri adalah masa yang tepat memandangkan Perkampungan Hang Tuah sudah selesai menjalani kerja naik taraf bagi kemudahan pelancong.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyerahkan projek berkenaan kepada PERZIM semalam selepas kerja naik taraf dilakukan.

“Selewat-lewatnya, 1 Januari nanti kita sudah buka Perkampungan Hang Tuah kepada orang ramai bagi membolehkan orang ramai melihat lukisan yang berharga itu.

“Kita tahu di Malaysia dan juga di dunia ini ada peminat-peminat lukisan terutamanya lukisan yang berbentuk ‘figure’ sebegini, tentunya mereka berminat untuk melihat hasil karya Ismail Embong sekali gus berkunjung ke Perkampungan Hang Tuah.

“Lukisan akan diletakkan di tempat yang bersesuaian iaitu di Perkampungan Hang Tuah dan kita kembalikan semula gambaran peristiwa-peristiwa lampau ini ke tempat asal Hang Tuah sekali gus ini akan menjadi satu produk baru bagi kerajaan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penerimaan 17 lukisan berkenaan yang diterima Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali di Pejabat Ketua Menteri, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemilihan untuk meletakkan lukisan tersebut di perkampungan itu adalah berdasarkan catatan sejarah membuktikan Laksamana Hang Tuah memang berasal dari Duyong.

Jelasnya, setiap lukisan tersebut memaparkan penceritaan tersendiri berdasarkan kajian yang dibuat Ismail mengenai sejarah Melayu Melaka ketika melakarkan hasil seni itu.

“Ada juga persitiwa berkaitan dengan Hang Tuah yang dizahirkan menerusi lukisan itu, contohnya Hang Tuah pergi meminang Puteri Majapahit atas arahan Tuanku Sultan (Sultan Mansur Syah) menggunakan dua kapal iaitu Kapal Mendam Berahi, kapal yang membawa Tuanku Sultan serta Kapal Kota Segara iaitu kapal yang mengiringi Kapal Mendam Berahi.

“Selain itu, juga ada lukisan di mana memaparkan peristiwa Hang Tuah mendapat keris Taming Sari, apabila beliau ke Majapahit dan diuji Pahlawan Majapahit yang bernama Taming Sari, yang memiliki sebilah keris.

“Dan dalam cerita, sesiapa yang memiliki keris tersebut, orang tersebut akan kebal daripada sebarang senjata, itu yang dianugerahkan kepada Hang Tuah selepas mengalahkan Taming Sari.

“Peristiwa bersejarah ini sangat menarik bagi generasi baharu mengetahui bagaimana Hang Tuah seorang pahlawan Melaka yang sangat hebat,” katanya.

Views:

1044
Kongsi :
Previous post Kesedaran pembudayaan norma baharu akan diperluaskan
Next post Lelaki ugut ibu dihadapkan ke mahkamah
Ubah saiz-+=