Lelaki maut kereta hilang kawalan, rempuh tiga kenderaan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KESIDANG 12 Julai – Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Dato Mohd Zin, berhampiran sebuah pasar raya di Cheng, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Tan Wee Kok, 42 maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira sedang dalam perjalanan menghala ke Taman Merdeka dari Lebuh AMJ.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan, lalu merempuh tiga lagi kereta iaitu Hyundai Accent, Nissan Grand Livina dan Toyota Vios yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat merah.

“Akibat rempuhan itu, kereta dipandu mangsa remuk di bahagian hadapan selain mengalami kerosakan pada bumper dan cermin hadapan.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi menjalankan bedah siasat.

“Sementara, pemandu kereta Hyundai Accent pula disyaki patah hidung dan kini menerima rawatan di zon kuning Hospital Melaka, manakala dua lagi pemandu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurut beliau, ketika kejadian keadaan cuaca hujan dan siasatan lanjut masih diteruskan dengan mengesan saksi bebas yang melihat kejadian, selain rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang berada di lokasi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5849
Kongsi :
Previous post Polis tumpas sindiket penipuan pelaburan ayam kampung
Next post MAIM cari mualaf yang berbakat
Ubah saiz-+=