‘KILANG MAKAN’ TUMPUAN BAHARU PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 13 September – Pemburu makanan bercuti di Melaka boleh singgah ke medan selera baharu dengan nama unik iaitu Kilang Makan diusahakan dua usahawan muda negeri ini untuk mencuba pelbagai menu yang ditawarkan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, antara tarikan di Kilang Makan adalah Cendol Kampung Hulu dan Arang Kafe yang sememangnya sudah tersohor dan mempunyai ramai peminat dari luar Melaka.

Katanya, apa yang menarik tapak asal medan selera itu adalah sebuah kilang usang yang diberikan nafas baharu oleh dua anak muda berkenaan.

“Mereka (dua usahawan muda) ini adalah pemilik Cendol Kampung Hulu dan Arang Kafe yang terletak di tebing Sungai Melaka.

“Berkonsepkan sama seperti cawangan di Kampung Hulu, namun ia lebih luas dan boleh menempatkan ramai pengunjung dalam satu masa. Ini saya sifatkan sebagai berfikir ‘luar kotak’ namun masih di tengah Bandaraya Melaka, bukan sahaja luas dan selesa untuk pengunjung menikmati juadah malahan parkir juga besar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata dengan pembukaan medan selera cawangan baharu itu diharapkan ia dapat menggamit lebih ramai pengunjung ke Melaka.

“Pengunjung bukan sahaja suka datang untuk lihat bangunan atau lokasi bersejarah, malahan ada juga yang datang kerana negeri ini menawarkan banyak lokasi menyediakan pelbagai menu yang enak.

“Dengan pembukaan Kilang Makan ini, kita harap ia dapat membantu merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post UNIMEL PERKASA PENGAJIAN PERUNDANGAN DAN KEJURURAWATAN
Next post SSPA: PEGAWAI AWAM DIBERI TEMPOH OPSYEN 40 HARI BERMULA 21 OKT
Ubah saiz-+=