Keris Melaka dari Pattani antara tarikan di Pameran Hang Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 19 Jun – Keris Melaka, keris panjang, tombak dan lembing dipercayai berusia 500 tahun menjadi antara tarikan yang dipamerkan pada Pameran Hang Tuah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Senjata berkenaan dibawakan khas dari Kampung Kota, daerah Resak, wilayah Narathiwat, Thailand untuk dipamerkan kepada umum sempena pameran yang berlangsung selama sebulan itu.

Pemiliknya, Hasan Yamadibu berkata, empat senjata yang dibawa untuk pameran itu merupakan hadiah daripada kerajaan Kesultanan Melayu Melaka kepada Kerajaan Patani sekitar abad ke-15.

Katanya, senjata berkenaan telah diwarisi sejak turun-temurun oleh keturunan hulubalang Pattani yang datang ke Melaka pada ketika itu.

“Pada abad ke-15 kerajaan Melayu pada ketika itu mempunyai hubungan rapat dan senjata ini diberikan oleh Sultan Melaka sebagai hadiah selepas memenangi peperangan.

“Sebenarnya, masih terdapat banyak lagi tinggalan yang disimpan, namun untuk pameran ini kita membawa empat jenis tinggalan iaitu keris Melaka, keris panjang, tombak dan lembing untuk dipamerkan.

“Senjata ini dipercayai berusia sekitar 500 tahun kerana ia merupakan simpanan keluarga dan masih terdapat kitab catatan yang masih disimpan dari generasi ke generasi,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada pameran berkenaan.

Menurut Hasan, kisah mengenai Hang Tuah cukup terkenal di Pattani memandangkan sejarah hidup pahlawan legenda itu menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat, selain turut didedahkan di sekolah-sekolah.

Justeru, dia memuji inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan Pameran Hang Tuah itu bagi mengangkat kembali nama wira Melayu yang hebat seantero dunia suatu masa dahulu.

“Penganjuran pameran ini dapat memberi impak positif kepada generasi baharu bahawa orang Melayu juga hebat dan mempunyai tamadun yang tinggi.

“Ini dapat membantu orang muda menjadi lebih bersemangat untuk membangunkan diri atas nama kemajuan yang berdasarkan Melayu,” katanya.

Pameran Hang Tuah dibuka kepada umum bermula 10 Jun lalu dan akan berlangsung sehingga 7 Julai depan di Hall A, MITC, Ayer Keroh.

Pameran itu dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 6 petang, kecuali Jumaat hingga Ahad yang dilanjutkan waktu sehingga jam 10 malam.

Bayaran tiket masuk yang dikenakan juga amat berpatutan iaitu RM15 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, manakala pelancong asing dewasa dikenakan RM20 dan RM10 (kanak-kanak).

Terdapat enam segmen yang disediakan dalam pameran tersebut, merangkumi Kegemilangan Empayar Melaka; Riwayat Hidup Hang Tuah; Hang Tuah Sebagai Tokoh Diplomatik; Hang Tuah Melalui Manuskrip; Ruang Audio Visual dan Legasi Hang Tuah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

232
Kongsi :
Previous post Erti pengorbanan seorang mualaf
Next post Maut langgar motosikal keluar simpang
Ubah saiz-+=