Karnival D’Bendang Sungai Rambai Julai depan lebih ‘havoc’

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SUNGAI RAMBAI 19 Jun – Penganjuran Karnival D’Bendang Sungai Rambai 2024 yang berlangsung pada 26 hingga 28 Julai depan dijangka lebih meriah dengan menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis berkata, sama seperti tahun lalu, penganjuran tahun kedua karnival terbabit dikekalkan lokasinya di Kampung Parit Penghulu Benteng.

Katanya, antara kelainan yang ditampilkan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) adalah pertambahan aktiviti menarik membabitkan 40 pertandingan termasuk acara tradisional pada tahun ini.

“Karnival ini akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Antara lain, pada karnival ini juga akan menghimpunkan lebih 120 pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Australia yang dijangka akan menyertai pelbagai acara.

“Agensi-agensi penguatkuasa lain turut akan menghantar penyertaan yang mana kita jangkakan karnival ini lebih ‘havoc’ dari tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Program Korban dan Kenduri Rakyat 2024 anjuran Japerun Sungai Rambai bersama UMNO Bahagian Jasin di Masjid Al-Mukminun, Seri Mendapat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Jasin, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas lanjut, Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pengelola pertandingan arca jerami pada karnival terbabit.

“Tahun ini kita menerima penyertaan sebanyak 15 kumpulan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) berbanding yang lepas kurang daripada 10.

“Bertepatan juga dengan TMM2024, kita turut menjangkakan kehadiran akan melebihi sasaran sekali gus mampu meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

426
Kongsi :
Previous post Melaka dapat perhatian lebih 160 juta rakyat China di media sosial
Next post Wanita warga emas rugi lebih setengah juta diperdaya ‘Pegawai NSRC’
Ubah saiz-+=