Kapal terbang laut di Melaka tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KESIDANG 27 Dis. – Kapal terbang laut atau ‘seaplane’ bakal menjadi antara tarikan terbaharu untuk menarik kehadiran pelancong ke Melaka, bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pelaburan daripada sebuah syarikat di Pulau Pinang dianggarkan bernilai RM500 juta itu dijangka bakal dimeterai pada awal tahun depan.

Kapal terbang laut itu, jelasnya, bakal berkonsepkan kapal terbang persiaran yang akan dibangunkan secara berperingkat dalam tiga fasa.

“Fasa pertama, ia akan dijadikan seperti kapal terbang persiaran dengan membawa pengunjung menyusuri pantai-pantai yang ada di negeri ini dan InsyaAllah untuk fasa kedua nanti kita akan kembangkannya dari pelabuhan ke pelabuhan.

“Contohnya, kapal terbang laut itu akan bergerak dari Melaka ke pelabuhan Langkawi atau Melaka ke Pulau Pinang, Johor, Klang dan sebagainya.

“Seterusnya untuk fasa ketiga kita akan memperkenalkan perjalanan ke negara jiran seperti contoh dari Melaka ke Dumai, Acheh, Batam, Tanjung Balai dan sebagainya.

“InsyaAllah, jika semua berjalan lancar ia boleh dimeterai pada awal 2021 dengan nilai pelaburan tidak kurang setengah bilion ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Kejohanan Tourism Melaka Futsal Challenge 2020 di Kompleks Sukan Batu Berendam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, Aerodrome Sungai Rambai dijangka bakal dijadikan lokasi penyimpanan dan landasan untuk kapal terbang laut itu nanti.

Jelasnya, lokasi tersebut juga akan dijadikan tapak latihan dan terbang uji kapal terbang laut itu, selain merancang untuk membangunkan kilang pembuatannya di Melaka.

Views:

1935
Kongsi :
Previous post COVID-19: Melaka catat 1 kematian, lima kes baharu
Next post Hotel, chalet di Melaka ‘laris’
Ubah saiz-+=