Kajian Hang Tuah perlu dipamerkan di media sosial

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 27 Jun – Hasil kajian dan penyelidikan tentang Hikayat Hang Tuah perlu dipamerkan di media sosial untuk tatapan umum.

Ketua Penyelidik Kajian Hang Tuah Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata, ia bagi membolehkan lebih ramai anak muda mengetahui tentang kisah dan sejarah pahlawan legenda Melayu itu.

Seiring dengan peredaran zaman, ujarnya, anak muda masa kini lebih cenderung untuk membaca bahan bacaan dalam platform media sosial atau secara dalam talian dan bukannya bahan bacaan fizikal seperti buku.

“Sebaik-baiknya, jangan hanya pamer atau letak dokumen tentang sejarah Hang Tuah dalam bentuk penulisan, tetapi gunakanlah teknologi terbaru seperti di media sosial.

“Media sosial ini ibarat seperti platform baharu untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat tentang Hikayat Hang Tuah.

“Ini akan memberi impak lebih besar dan berkesan kepada masyarakat, kalau kita buat dalam (bentuk) buku tentang hikayat pahlawan ini (mungkin) orang kurang membaca,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Penyelidikan Hang Tuah mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Institut Tun Perak (ITP), Hazzlan Sama; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mohd Ghazali Ahmad; Pengarah Institut Kajian Tuah (IKAT) UNIMEL, Prof Dr. Mohd Samsudin dan lain-lain jemputan.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Mohd Taib turut bersetuju sekiranya bahan kajian mengenai Hikayat Hang Tuah diangkat sebagai sebuah drama untuk dipertontonkan kepada umum. Menurut, lebih menarik jika segala bahan kajian mengenai Hikayat Hang Tuah dijadikan satu darama untuk dipertontonkan kepada umum.

“Sama ada drama atau dokumentari di platform media sosial, ini saya kira adalah lebih baik dan menarik.

“Insya-Allah selepas ini kita bercadang untuk buat segmen seperti Jejak Hang Tuah, di mana ia akan bermula di Malaysia dan mungkin kita akan menelusuri jejak beliau bermula di mana tempat lahirnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

127
Kongsi :
Previous post ‘Influencer’ Mashy suntik motivasi peserta NTW 2024
Next post Enam wanita direman empat hari kemuka tuntutan palsu lebih RM13,000
Ubah saiz-+=