‘JANGAN PERNAH LUPA ORANG BAWAH’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 25 September – “Pesan arwah ayah setinggi mana pun kita berada jangan sesekali lupakan orang bawah yang sentiasa membantu kita ketika susah,” kata Datuk Fairul Nizam Roslan.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri tidak pernah melupakan pesanan arwah ayahnya supaya sentiasa menyantuni dan menghormati sesiapa sahaja tidak mengira usia dan pangkat.

Berpegang kepada prinsip ‘ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi’, Fairul Nizam mempraktikkan amalan itu sehingga hari ini bagi memastikan beliau sentiasa menjaga budi bahasa dan tutur katanya.

“Tanggal 16 Ogos 2000, hari pertama saya melaporkan diri di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, pagi itu saya mengikat tali kasut mahu pergi kerja dan saya pinjam motosikal kawan kerana tiada motosikal ketika itu.

“Ketika itu arwah ayah pesan ‘Along ingat setinggi mana kau berada, yang menaikkan kau adalah orang bawah, kalau kau duduk pegawai penyelia pun yang buat kerja adalah orang bawah’.

“Kata-kata arwah ayah ini masih segar dalam ingatan saya sehingga hari ini,” katanya ketika bersiaran dalam Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, pesanan itu sentiasa diamalkan walaupun kini sudah dilantik menjadi antara barisan Exco Kerajaan Negeri.

“Jangan sesekali menidakkan orang bawah dan lupakan mereka, perkara ini saya ingat sampai sekarang dan ketika saya menjadi penyelia jabatan kesihatan pun saya praktis amalan ini.

“Saya tak mahu buang pekerja yang muda dan tua, malah sentiasa menyantuni mereka, kita bukan hebat sangat walaupun sudah ada jawatan.

“Sentiasalah berada di bawah, bercampur dengan ramai orang dan jaga budi bahasa kita. Jangan pernah lupa orang yang bantu kita waktu susah, itulah pesan ayah yang tidak pernah saya lupa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

164
Kongsi :
Previous post DUA MOTOSIKAL MENANTI PESERTA DALAM CABUTAN BERTUAH MELAKA EXPLORACE 2024
Next post ‘BALAU’ HADIAHKAN EMAS KE-4 UNTUK MELAKA
Ubah saiz-+=