‘Jangan pernah lelah menuntut ilmu’

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

RIM 27 Mac – Anak asnaf atau mereka berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan diingatkan supaya memanfaatkan sepenuhnya hak mendapatkan pendidikan disediakan kerajaan demi mengubah kehidupan pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, status orang miskin atau berasal dari keluarga susah bukan alasan bagi anak asnaf untuk terus ketinggalan dalam aspek akademik.

Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata, pemahaman negatif tidak menguntungkan itu perlu diubah dengan segera kerana semua rakyat Malaysia mendapat hak yang sama dalam aspek pendidikan.

“Berikutan itu saya nasihatkan anak-anak kurang bernasib baik ini untuk menggunakan apa sahaja peluang akademik yang boleh menguntungkan diri mereka. Hanya melalui ilmu kita boleh mengubah nasib diri dan keluarga.

“Tuntut ilmu ke tahap paling tinggi, jika terus dibelenggu pemikiran kita berasal daripada keluarga susah, anda tidak akan berjaya,” katanya ketika memberikan nasihat kepada anak-anak Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Jasin.

Terdahulu Khaidhirah menyantuni anak-anak berkenaan bersempena Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Bersama Honda Logistik Sdn Bhd di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Jasin, di sini, semalam.

Pada majlis sama Khaidhirah turut menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM30,000 daripada Honda Logistics Malaysia Sdn Bhd kepada pengurusan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Jasin.

Hadir sama Pengarah Urusan Honda Logistics Malaysia Sdn Bhd, Tetsuya Kawatsura; Pengurus Besar Honda Logistics Malaysia Sdn Bhd, Suguru Yamamoto; Pengurus Kanan Honda Logistics Malaysia Sdn Bhd, Fionnex Goh dan Pengurus Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Jasin, Mohamad Isa Jolan.

Beliau berharap lebih banyak syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) terus tampil membantu anak-anak kurang bernasib baik di negeri ini.

“Kita sentiasa membuka pintu kepada mana-mana syarikat untuk memberi sokongan, sumbangan atau dana demi kemajuan anak-anak ini.

“Insya-Allah kita akan pastikan tiada seorang pun daripada mereka (anak-anak yatim) ini tertinggal untuk mengejar masa depan yang lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

259
Kongsi :
Previous post Syukur anak dapat sumbangan baju raya
Next post Kerajaan Negeri sokong pendigitalan MHI
Ubah saiz-+=