Industri perkilangan Melaka perlu cakna alam sekitar

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

PENGKALAN BATU 24 Jun – Industri perkilangan di Negeri Melaka disaran lebih proaktif dalam menjalankan operasi yang mementingkan aspek kebersihan alam sekitar.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, penggunaan teknologi bersih (cleaner technology) dan penerapan elemen pengeluaran bersih (cleaner production) dalam penghasilan produk perlu diperkasakan bagi mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar.

Beliau berkata, langkah itu sekali gus mampu mendukung hasrat negara yang menyasarkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau (Greenhouse Gas – GHG) sehingga 45 peratus intensiti karbon menjelang tahun 2030.

“Ia adalah sebagai sumbangan negara di peringkat global dalam menangani isu perubahan iklim dan ia juga tertakluk kepada pembangunan teknologi, penyediaan kewangan yang mencukupi serta peningkatan kapasiti.

“Secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dengan mengamalkan gaya hidup lestari menggunakan alat elektrik yang efisien, mengurangkan pembaziran air, penjanaan buangan menerusi konsep 4R iaitu Recovery, Recycling, Reuse and Reduction, mengelakkan pembakaran terbuka dan ‘car pooling, untuk menjadikan Melaka sebagai negeri ‘low carbon society’.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan aktif pertubuhan bukan kerajaan, komuniti korporat serta individu dalam program dan aktiviti berteraskan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (WED) 2024 Peringkat Negeri Melaka di sebuah kilang semikonduktor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Mustafa; Pengarah Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Nor Zaki Md Nor serta lain-lain kenamaan.

Tahun ini, WED yang bertemakan ‘Land, Restoration, Desertification and Drought Resilience’ melibatkan sektor industri bagi memperkasa kefahaman mengenai amalan gaya hidup lestari yang bersifat mesra alam dengan pengisian pelbagai program menarik seperti pameran dan seminar.

Dalam pada itu, Zulkiflee berkata, selain komuniti perindustrian, kesedaran menjaga alam sekitar juga perlu diperkasa pada seluruh komuniti masyarakat di negeri ini.

“Setiap masyarakat juga perlu berganding bahu membentuk sinergi untuk terus melindungi alam sekitar.

“Kerajaan Negeri amat menggalakkan sekiranya masyarakat lebih proaktif terlibat dalam program komuniti tempatan seperti Rakan Alam Sekitar (RAS) dan kerjasama dengan rakan strategik alam sekitar yang bertindak sebagai mata dan telinga membantu atau memudah cara agensi berwajib memantau aktiviti pencemaran dan pengurusan sumber asli negara dengan lebih cekap,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

410
Kongsi :
Previous post Warga emas dikhuatiri lemas di Tasik Biru Chin Chin
Next post Mayat warga emas ditemui terapung di Tasik Biru Chin Chin
Ubah saiz-+=