Empat projek penambahbaikan sistem pengangkutan jalan darat

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI 10 Julai – Kerajaan Negeri melaksanakan empat projek penambahbaikan sistem pengangkutan jalan darat bagi kawasan pelabuhan dan jeti selaras dengan kemajuan ekonomi di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata projek itu termasuklah pembangunan Kawasan Ekonomi Pesisir Pantai (SMWEZ) bagi tempoh 10 tahun mendatang.

Katanya, antara yang dicadangkan adalah membina jalan baharu dan menaik taraf jalan dari persimpangan Taman Perindustrian Bukit Rambai, lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) ke Pelabuhan Tanjung Bruas daerah Melaka Tengah dengan kos berjumlah RM428.37 juta yang dimohon dalam Rolling Plan RP1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurutnya kedua pula membabitkan kawasan SMWEZ iaitu projek lebuh raya pesisir pantai telah dicadangkan meliputi jajaran di dalam Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

“Jajaran ini akan menghubungkan sepanjang Kuala Linggi – Masjid Tanah – Sungai Udang – Klebang – Limbongan – Jalan Pantai – Jambatan Syed Abdul Aziz – Alai – Telok Mas sehingga ke Bandar Melaka.

“Kajian bagi rojek ini telah siap dilaksanakan pada 2013 dengan panjang jalan terlibat ialah 52.3 kilometer (km), manakala kos pelaksanaan projek sebanyak RM3.622 Billion.

“Bagi fasa satu projek yang dimohon dalam Rolling Plan 5 RMK12 melibatkan cadangan membina jalan empat lorong Hatten City ke Semabok dengan anggaran kos projek RM500 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tuminah Kadi@ Mohd Hashim (BN- Pantai Kundor) mengenai sistem pengangkutan jalan darat di negeri ini pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di sini hari ini.

Katanya lagi, projek ketiga adalah di kawasan Pelabuhan Linggi bagi cadangan membina jalan dari Kuala Linggi ke Ayer Molek, Masjid Tanah, Alor Gajah.

“Projek ini berjumlah RM125 juta dan telah mendapat kelulusan dalam Rolling Plan 4 RMK12 serta dalam tindakan kerja-kerja ukur oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Keempat adalah cadangan menaik taraf Jalan Tun Hamzah dari persimpangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ daerah Melaka Tengah dengan kos berjumlah RM300 juta bagi menyokong Projek Lebuhraya Pesisir Pantai.

“Projek ini telah mendapat kelulusan dalam Rolling Plan 3 RMK12 dan dalam tindakan pihak JKR untuk proses reka bentuk jalan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

288
Kongsi :
Previous post Pembinaan bangunan tambahan atasi kepadatan murid
Next post Jelajah subsidi diesel beri penerangan pada golongan sasar
Ubah saiz-+=