Cabaran kitar semula antara sekolah tawar hadiah lebih RM30,000

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 19 Jun – Hadiah bernilai lebih RM30,000 ditawarkan buat 60 buah sekolah di Melaka dan Negeri Sembilan yang terlibat dalam pertandingan kitar semula selama empat bulan.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pertandingan GREAT KITARecycle Challenge 2024 itu diadakan bermula Julai hingga Oktober depan dengan tujuan mampu mendorong kesedaran murid dan pelajar sekolah dalam memperkasa amalan kitar semula.

Jelasnya, pertandingan diadakan dengan kerjasama Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu mempertandingkan lima kategori membabitkan sebanyak 56 hadiah dalam tempoh terbabit.

“Kami bermatlamat untuk menjadikan usaha ini sebagai sebahagian daripada inisiatif pendidikan masyarakat untuk membudayakan amalan kitar semula di peringkat sekolah agar ia mampu diurus secara mampan dan lestari.

“Program seumpama ini mampu menjadi model dan contoh kepada masyarakat luar yang ingin membudayakan pengurusan sisa secara mampan dan lestari menerusi pengasingan sisa di punca serta kitar semula.

“Ini merupakan antara momentum yang kita gunakan dalam konsep pertandingan seawal di peringkat sekolah supaya ia mampu memberi saingan yang lebih sihat untuk membudayakan ilmu pengurusan sisa pepejal dan amalan kitar semula, selain kita menyasarkan lebih 100,000 kilogram sisa kitar semula akan dikumpulkan oleh sekolah-sekolah dalam tempoh empat bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pelancaran GREAT KITARecycle Challenge 2024 yang dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Hafiz Ridhuan Md. Daud diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif GETB, Shahrul Azlan Shahriman serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan antara kategori yang dipertandingkan adalah Pertandingan Pengumpulan Barangan KITARecycle, Penghasilan Arca 3R dan Pertandingan Bercerita bagi sekolah rendah.

Manakala, bagi sekolah menengah Pertandingan Pengumpulan Barangan KITARecycle, Penghasilan Arca 3R, Pertandingan Penulisan Esei dan Pertadingan Video Pendek.

“Menerusi pertandingan ini, kita turut akan melaksanakan pertandingan dari bulan ke bulan supaya ia menjadi rangsangan sekolah-sekolah untuk memenangi acara ini sehingga ke penghujung bulan keempat nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

211
Kongsi :
Previous post ‘Rider Grab’ maut dirempuh ketika beri laluan untuk ambulans
Next post Unit Paramedik Berbasikal pertama negara ada di Melaka
Ubah saiz-+=