Belia perlu jadi ‘booster leader’ bersama bangunkan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SERI BENDAHARA 28 Julai – Belia perlu memainkan peranan dalam kepimpinan yang berdaya saing supaya mampu menjadi ‘booster leader’ dalam membangunkan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, konsep ‘booster leader’ perlu diterapkan terutama dalam setiap pertubuhan belia di negeri ini agar mesej dan pelaksanaan inisiatif kerajaan terus mendapat perhatian golongan muda.

Katanya, hasrat itu sekali gus membuka mata dan minda golongan itu bagi menangkis segala fahaman negatif terutama dalam media sosial.

“Saya menyeru kepada anak muda supaya perlu menjadi ‘booster leader’ dengan berganding bahu bersama-sama memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri bagi mewajah baharukan negeri ini.

“Kita perlu memberi sokongan antara satu sama lain agar anak muda lebih dekat dengan kerajaan, kita beri sokongan dalam setiap platfrom media dan lawan mereka yang mengecam serta menyebarkan fahaman negatif ini.

“Belia khususnya kepada setiap badan bukan kerajaan (NGO) perlu menjadi pemangkin untuk membantu Kerajaan Negeri untuk bersama mengolah Melaka mewajah baharukan negeri demi masa depan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Gerakan Belia 4B (GB4B) Negeri Melaka Kali ke-5 diadakan di Dewan Seri Bendahara, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi GB4B Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Naib Pengerusi Gerak Wanis Melaka, Datuk Khaidirah Abu Zahar; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, Khairul Adri Rosli serta tetamu lain.

Terdahulu, program diadakan itu juga turut meraikan 10 penerima Bintang Jasa Belia (B.J.D.) disampaikan Ab Rauf kepada penerima melibatkan individu perseorangan dan persatuan di negeri ini.

Dalam pada itu Ab Rauf berkata, peranan golongan belia di negeri Melaka penting bagi memastikan negeri ini mempunyai pelapis kepimpinan bagi mewarisi pentadbiran negeri demi membangunkan Melaka.

Katanya, potensi golongan belia amat penting dalam kesemua bidang dan lapangan sama ada dalam aspek sosial, ekonomi dan politik.

“Apa yang lebih penting lagi adalah, saya mahu gerakan belia yang diterajui oleh anak muda ini agar selepas ini bergerak lebih proaktif dengan melibatkan semua lapisan anak muda belia dari kawasan-kawasan kampung sehinggalah kawasan bandar.

“Saudara saudarilah yang memainkan peranan penting untuk mendekati anak-anak muda di Melaka ini agar sama-sama memahami hala tuju Kerajaan Negeri yang sedang saya tadbir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

157
Kongsi :
Previous post Melaka menggamit kaki pancing seluruh negara
Next post Remaja lelaki hanyut ketika cuba selamatkan adik, ditemukan lemas
Ubah saiz-+=