Ayam Saga masa depan industri penternakan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 23 Jun – Bersifat dwifungsi iaitu boleh diternak untuk pengeluaran daging atau telur menjadi antara keistimewaan dimiliki Ayam Saga yang dibangunkan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Ayam baka istimewa itu mula dibangunkan MARDI sejak tahun 2008 dan kini ia dianggap sebagai masa depan untuk industri penternakan memandangkan ia berupaya menampung permintaan ayam dan telur yang semakin tinggi.

Dengan ciri-ciri seperti ayam kampung iaitu lincah, aktif dan tahan lasak, spesies unggas itu juga hanya mengambil masa singkat untuk diternak sebelum dijual kepada orang ramai.

Menurut Penolong Pegawai Penyelidik MARDI Negeri Melaka Anis Syazwani Zuridi, 27, Ayam Saga bagi penghasilan daging hanya memerlukan sekitar 10 hingga 12 minggu untuk dituai kerana dalam tempoh tersebut ia sudah mencapai berat hampir 1.5 hingga 1.8 kilogram bagi ayam jantan dan 1 hingga 1.2 kilogram bagi ayam betina.

Manakala untuk penghasilan telur pula ujarnya, ayam betina sudah mula bertelur pada usia 16 minggu dan penghasilan telurnya juga lebih banyak berbanding ayam biasa iaitu mencapai 125 biji telur dalam tempoh semusim.

“Telur yang dihasilkan Ayam Saga juga lebih besar berbanding ayam biasa, sementara dagingnya pula mempunyai tekstur kenyal dan pejal, selain isinya yang manis sama seperti ayam kampung.

“Walaupun mempunyai pelbagai keistimewaan, namun masih ada dalam kalangan masyarakat kurang cakna tentang Ayam Saga MARDI mungkin kerana ramai beranggapan ia sama seperti ayam biasa di luar sana.

“Sebab itulah, MARDI mengambil inisiatif untuk mempromosikan ayam ini supaya masyarakat atau penternak mengenali keunikan yang ada pada ayam daripada baka jenis ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Melaka Agrofest 2024 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini.

Menurut Anis Syazwani, pengunjung di Melaka Agrofest 2024 bukan sahaja boleh mendapat khidmat nasihat dan maklumat mengenai Ayam Saga, bahkan di sini juga mereka boleh membeli anak ayam daripada baka itu pada harga istimewa iaitu RM6 sahaja seekor.

“Selain di Melaka Agrofest, MARDI turut mempunyai pembekal dan penjual sah baka Ayam Saga di beberapa negeri, antaranya Selangor, Kedah, Perlis, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Di Melaka, pembekal kita yang sah ialah Sahabat Gadek Enterprise yang menjalankan perusahaan di Kampung Gadek, Alor Gajah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

262
Kongsi :
Previous post Melaka pilihan pelabur, industri berteknologi tinggi
Next post Nasi himpit ‘retort’ boleh tahan 2 tahun
Ubah saiz-+=