Acuan arwah nenek penyambung legasi kuih karas

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SUNGAI RAMBAI 14 April – Rasanya yang rangup, manis dan berwarna coklat keemasan menjadikan kuih karas antara kuih tradisional yang wajib ada apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun ia semakin dilupakan, namun itu bukan penghalang untuk sekumpulan wanita dari Serkam memperkenalkan kembali kuih berwarna coklat keemasan itu kepada generasi muda.

Menurut Rozita Ahmad, 53, dia bersama empat ahli kumpulannya mengambil kesempatan untuk menghasilkan kuih tradisional itu pada Festival Kuih Tradisional Melaka, Ramadan lalu.

Niatnya hanya satu, iaitu mahu mengangkat kembali kuih warisan itu yang kini dilihat semakin hilang dek peredaran masa.

Istimewanya, Rozita berkata, dia menggunakan acuan berusia puluhan tahun milik neneknya untuk menghasilkan kuih tersebut bagi mengekalkan keaslian tekstur dan rasa kuih itu.

“Bagi generasi moden, nama kuih karas mungkin agak asing bagi mereka, namun hakikatnya kuih tradisional ini sebenarnya menjadi pilihan atau menu ‘wajib’ di Aidilfitri.

“Kami berlima (satu kumpulan) sebenarnya pertama kali membuat kuih karas ini dan ia tidaklah sukar dan tidak juga mudah kerana hanya menggunakan tiga bahan sahaja iaitu tepung beras, gula dan air panas.

“Namun untuk menjadikan kuih karas ini keras dan rangup apabila dimakan mungkin agak sukar, tetapi ia pengalaman istimewa untuk saya kerana dapat menggunakan acuan arwah nenek yang berusia lebih 50 tahun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada festival itu, Rozita bersama ahli kumpulannya yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam meraih tempat ketiga, sekali gus membawa pulang wang tunai RM300.

Manakala juara disandang oleh wakil DUN Merlimau dan membawa pulang RM700 dan naib juara milik DUN Sungai Rambai dan membawa pulang RM500.

Kesemua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menyempurnakan perasmian penutup festival berkenaan pada 31 Mac lalu.

Festival Kuih Tradisional yang diadakan pada tahun ketiga itu mengangkat tema mengekalkan seni warisan kulinari yang semakin dilupakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

64
Kongsi :
Previous post Zon Bebas Kenderaan Aidilfitri bawa limpahan rezeki
Next post Anak perantau tetamu Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rim
Ubah saiz-+=