1 DUN, 3 Komuniti MADANI di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TELOK MAS 24 Jun – Sebanyak 84 Komuniti MADANI telah ditubuhkan di Negeri Melaka sebagai gerakan sukarela yang menjadi penghubung komunikasi di antara kerajaan dan masyarakat.

Pengarah Penerangan Negeri Melaka Ab Rasil Hajatil berkata, daripada jumlah itu, tiga Komuniti MADANI telah ditubuhkan di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Melaka.

Menurutnya, dalam daerah Melaka Tengah sahaja, terdapat 39 Komuniti MADANI telah ditubuhkan.

“Untuk makluman semua, pelbagai program dan aktiviti dapat dilaksanakan oleh Komuniti MADANI melalui peruntukkan yang disalurkan kepada Komuniti MADANI.

“Pelbagai aktiviti boleh dirangka dan dijalankan untuk manfaat penduduk setempat disamping pihak Jabatan Penerangan (JAPEN) dapat menyampaikan maklumat mengenai dasar dan inisiatif Kerajaan, selain isu-isu semasa dan kenegaraan kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program JIWA Komuniti MADANI Parlimen Kota Melaka di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas, di sini, yang dirasmikan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti merangkap Adun Banda Hilir Leng Chau Yen dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rasil berharap, melalui program JIWA Komuniti MADANI yang diadakan itu masyarakat akan lebih cakna terhadap isu-isu semasa dalam negara, selain dasar dan inisiatif kerajaan.

Ia termasuklah penyasaran semula subsidi diesel yang telah dilaksanakan kerajaan bertujuan mengekang ketirisan subsidi diesel selain membantu penjimatan RM4 bilion kepada negara.

“Bagi membendung kenaikan kos sara hidup, kerajaan terus memberi subsidi diesel kepada kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan pengangkutan barangan tertentu.

“Manakala bantuan tunai diberi kepada individu, petani dan pekebun kecil komoditi yang layak iaitu BUDI Individu (pemilik kenderaan diesel), BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Mysubsidi Diesel (Pengangkutan Darat) yang akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan.

“Untuk makluman semua, permohonan untuk mendapatkan subsidi bersasar ini terus dibuka dan kerajaan menyeru kepada sesiapa yang layak namun masih belum mendaftar, segeralah berdaftar di pautan http://budimadani.gov.my,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post RM1.7 juta bantu pendigitalan usahawan desa
Next post Dokumentari Hang Tuah sebagai tokoh diplomat akan diterbitkan
Ubah saiz-+=